Oleh: Razali Awang
Sebagai petugas Misi Kemanusiaan Syria Care yang berdepan secara langsung dengan mangsa konflik, begitu banyak kisah tragis yang dikongsi dengan penulis.
Pertemuan dengan Amani, seorang balu berusia lewat 20-an ketika berada di Sanliurfa, Turki pada Oktober 2017 antara kisah tragis yang meninggal kesan mendalam.
Ketika itu penulis bersama anggota misi kemanusiaan Syria Care yang diketuai pengerusinya, Siti Sakinah Meor Omar Baki menziarahi beberapa keluarga di bandar bersejarah itu.
Semasa kami sampai hari telah petang dan cuaca agak dingin. Dalam sebuah rumah di tingkat bawah rumah tiga tingkat, Amani tinggal bersama ibu ayah dan adik beradiknya yang seramai lapan orang. Dia diberi sebuah bilik berasingan bersama dua anak perempuan.
Ketika ditanya mengenai nasib yang menimpa, anak sulungnya berada di sebelah Siti Sakinah bergerak ke arah ibunya dan kemudian tunduk dengan wajah sebak.
Kanak-kanak itu masih trauma dan pertanyaan kami mengenai apa yang berlaku secara tidak langsung menyebabkan dia mengingati semula saat-saat ngeri yang terpaksa dilalui.
Amani memberitahu, anaknya berdepan dengan kesukaran tidur di waktu malam kerana diganggu mimpi dan juga mengalami kesukaran bercakap.
Dia dan anak-anak menyaksikan sendiri saat-saat serangan bom yang meragut nyawa suaminya.
Hari yang bermula dengan indah pada 2015 berakhir dengan tragedi. Musibah berlaku sewaktu Amani sekeluarga bersama bapanya dalam perjalanan pulang dari klinik gigi.
Ketika itu bapanya yang memandu dan arwah suaminya berada di sebelah manakala dia beserta anak-anak dan ibunya di belakang.
Tiba-tiba saat indah sekeluarga menjadi mimpi ngeri selepas kenderaan yang dinaiki melantun kesan letupan bom. Semua yang ada menjerit ketakutan.
Ketika itu mereka perasan, lelaki sebelah pemandu diam kaku dengan kepala di atas papan pemuka kereta.
Dia, anak-anak serta anggota keluarga menyaksikan selepas ditarik, terdapat serpihan roket telah menembusi kepalanya. Selepas bertahun-tahun, ingatan itu menjadi igauan ngeri.
Rayyan Muhyidin jadi inspirasi
Nun jauh di Reyhanli, kisah Rayyan Muhyidin menjadi inspirasi betapa kanak-kanak berusia 10 tahun ini, begitu kental meskipun kudung kedua kaki selepas terkena serpihan bom.
Ketika berkunjung ke kediamannya, aksinya begitu lincah dan amat petah berkata-kata mengenai hasil kraftangan yang dihasilkan. Dalam keadaan yang cacat dengan usia ketika itu tujuh tahun, dia cuba memberi inspirasi kepada mereka yang senasib dengannya.
Kesempurnaan pancaindera yang dimilikinya diragut serangan bom tentera rejim Bashar pada Ogos 2015. Ketika itu dia bersama sepupu-sepupunya sedang bermain di kawasan pekarangan kediaman mereka di timur Ghouta.
Kesan letupan menyebabkan kaki kirinya kudung manakala sebelah lagi cedera teruk. Bukan setakat itu, serpihan roket turut menembusi ususnya. Demi menyelamat nyawanya, beberapa siri pembedahan dilakukan ketika itu.
Selepas dibawa keluar ke Turki bersama ibu bapanya, dia diberikan rawatan susulan.
Apa yang menimpa Amani dan Rayyan antara berjuta-juta kisah yang menjadi kebiasaan mangsa konflik di Syria.
Banyak kisah yang berakhir tanpa cerita kerana mangsa hilang begitu sahaja selepas ditahan rejim. Dalam laporannya, Syrian Network for Human Right (SNHR) mendakwa lebih 130,000 sedang merengkok di pusat tahanan dan penjara di seluruh Syria.
Apa sebenarnya yang menimpa mereka masih menjadi tanda tanya.