MENGAKU agak sibuk dengan kariernya kini. Penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza memberitahu dia tetap berusaha untuk memiliki cahaya mata kedua. Memastikan segala perancangan untuk tahun ini tidak tertangguh, dia turut berusaha mengimbangi waktu antara kerjaya dan keluarga.
“Perancangan untuk mengandung tetap diteruskan. Walaupun sibuk dengan kerja tetapi saya tidak menangguhkan rawatan. Ia akan diteruskan seperti biasa.
“Kerja dan keluarga adalah perkara yang penting dan saya memang sudah bersedia untuk melaluinya,” katanya.
Impak pendemik Covid-19 turut dirasai Siti. Sebagai penyanyi dan ahli perniagaan dia mengakui 2020 tahun agak getir buat kebanyakan rakyat di negara ini.
“Ada yang mulakan kerja baharu atau perlu bermula dari bawah dan kita tahu ini bukan situasi yang mudah.
“Sebagai penyanyi dan ahli perniagaan saya turut merasai cabarannya. Saya sentiasa berharap agar mereka di luar sana kekal positif dalam melalui waktu sukar ini,” jelasnya.
Berharap semuanya segera pulih, doa penyanyi ini hanya satu, penggiat seni tanah air kembali diberikan ruang untuk aktif mengadakan persembahan pentas seperti dahulu.
“Penyanyi antara bidang yang sukar ketika ini lantaran masih belum dibenarkan mengadakan persembahan pentas.
“Saya doakan agar suatu hari nanti keadaan akan kembali normal dan penggiat bidang ini boleh bekerja semula tanpa halangan,” katanya.
ManifestaSITI 2020
Menyentuh mengenai album ke-18 berjudul ManifestaSITI2020, Siti memberitahu, ada yang istimewa mengenai salah satu lagu di dalam album tersebut, Kuasa Cintamu.
Lagu itu mengisahkan pengalaman dan penantian dalam memiliki cahaya mata. Lantaran itu, ia menjadi antara lagu yang cukup dekat dengan dirinya.
“Begitupun, semua lagu dalam album ini istimewa untuk saya, tetapi saya tidak nafikan Kuasa Cintaku adalah lagu yang memiliki sentuhan peribadi daripada saya sendiri. Lagu ini secara tidak langsung menceritakan perjalanan dan penantian saya untuk mendapatkan, Aafiyah.
“Dalam lagu itu, saya luahkan segala perasaan dan rasa bersyukur apabila doa saya dimakbulkan Allah SWT untuk dikurniakan cahaya mata,” katanya.
Berkongsi mengenai perancangan awal album ini, katanya, ia sepatutnya dilancarkan April lalu, bagaimanpun terpaksa ditangguhkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Saya tidak kecewa album ini terpaksa ditangguhkan perlancarannya, sebab apa yang berlaku ini bukan atas jangkaan sesiapa. Saya melihat keselamatan semua pihak lebih penting dan sangat bersyukur apa yang sudah dilakukan pihak kerajaan.
“Sepanjang PKP saya manfaatkan masa untuk memperbaiki beberapa lagu dalam album ini. Ada juga lagu yang dirakam semula. Saya anggap ini hikmah atas apa yang berlaku,” katanya.
Bercakap mengenai kulit albumnya yang menjadi bualan ramai, Siti menjelaskan pakaian kuning dipakainya itu, membawa maksud tertentu.
“Saya mahu menyampaikan makna kebebasan dalam kulit album ini. Warna baju itu pula supaya nampak lebih ceria, terang dan bersemangat.
“Selalu kita buat dalam studio, kali ini pasukan saya memilih untuk mengadakan penggambaran di luar. Jadi kulit album ini melambangkan sesuatu yang lebih bebas. Ia turut menyampaikan semangat baharu buat mereka di luar sana,” katanya.
Album yang memuatkan 11 lagu itu turut disempurnakan lima lagu baharu antaranya Takhta Dunia, Aku Bidadari Syurgamu dan Tertulis Nama Kita.
Ia menggunakan khidmat komposer terkenal seperti Aubrey Suwito, Omar K, Hael Husaini, Ezra Kong, Pown Hasril, Melly Goeslow, Hafiz Hamidun, Ippo Hafiz, John Jeevasingham, Ryan Kyoto, Kmy Kmo dan Luca Sickta.