Perjalanan kulinari Siti Safura - Utusan Malaysia

Perjalanan kulinari Siti Safura

Nasi lemak bunga telang yang menyelerakan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cef Siti Safura Mohd Tawil, nama kian dikenali dalam dunia kulinari. Namanya harum apabila sering muncul juara dalam pertandingan masakan peringkat negara dan antarabangsa.

Awal tahun ini, beliau merangkul emas dan perak masing-masing untuk kategori India-Asia dan Pasta Risotto pada Pertandingan Cef Kulinari 2020 di Dublin, Ireland.

Kejuaraan dalam pertandingan anjuran The Panel of Chefs Ireland itu menghiasi laporan media tempatan dan antarabangsa menerusi menu juara – ‘nasi lemak bunga telang’ bagi kategori masakan Asia-India.

Siti Safura berkata, kekuatannya menyertai sesuatu pertandingan didorong keluarga, rakan sekerja dan orang sekeliling yang sering memberikan sokongan.

“Matlamat utama ialah menaikkan nama Malaysia dan memperkenalkan makanan kita di mata dunia. Oleh itu, saya pastikan dalam setiap sajian dipertandingkan itu mendapat rujukan daripada cef berpengalaman dan pensyarah sewaktu saya belajar terlebih dahulu.

“Ini penting kerana hidangan bakal dipertandingkan, bukan syok sendiri, tetapi digalas bersama tanggungjawab mengharumkan nama negara,” katanya ketika ditemu bual menerusi facebook (FB).

Perbezaan masa selama tujuh jam selain tugasan hakikinya sebagai cef di kediaman Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Dublin, Ireland memberikan lebih keselesaan kepada dirinya menjawab soalan menerusi pesanan FB.

Katanya, tiga elemen sering menjadi pegangannya sewaktu menyertai pertandingan ialah doa, usaha, ikhtiar dan tawakal selepas melakukan persediaan serta usaha bersungguh-sungguh.

Walaupun ia tampak klise, tetapi katanya, ia tepat dalam menceritakan perjalanan kulinarinya.

Bercerita mengenai nasi lemak bunga telang, katanya, beliau tidak terfikir untuk menggunakan bunga telang sebagai bahan dalam pertandingan berkenaan. Sebaliknya ia suatu kebetulan.

“Saya bawa bunga telang kering dari Malaysia, sekadar untuk penuhkan stok rempah ratus dan bahan-bahan yang boleh saya gunakan untuk memasak.

“Di sebabkan bunga itu banyak, maka saya memutuskan untuk menggunakan bunga telang dalam menu pertandingkan itu,” katanya yang tidak henti-henti mengucapkan terima kasih kepada majikannya, Duta Besar Malaysia ke Ireland, Zakaria Nasir dan isteri, Junainah Che Ali serta semua yang memberikan sokongan kepada perkembangan kerjanya.

Sajian juara itu dihidangkan dalam bentuk ala carte. Nasi lemak berwarna biru dipersembahkan bersama rendang ayam, kerabu sayur dan keropok yang kelihatan jelas menyelerakan.

 

TAK BALIK BERAYA

 

Siti Safura bersama anugerah kemenangan

 

Berhubung ‘balik raya’ Siti Safura menjelaskan dia tidak pernah pulang beraya sejak kira-kira empat tahun lalu, sejak berkhidmat di luar negara.

Begitupun, itu bukanlah suatu masalah besar buat dirinya dalam usahanya mengembangkan kerjaya dalam dunia dicintai itu.

“Mungkin orang fikir saya tidak enjoy zaman remaja saya sebab sejak muda ke luar negara. Tetapi hakikatnya saya tidak pernah pun merasa begitu.

“Sebaliknya saya menyifatkan ia sebagai suatu pengorbanan yang amat bermakna buat diri saya apabila dapat menimba banyak pengalaman di negara orang.

“Saya dapat melihat dan menafsir dunia luar dengan lebih luas. Ia suatu peluang yang tidak ramai rakan sebaya saya kecapi.

“Inilah juga masanya untuk saya terus belajar, belajar dan terus belajar daripada kehidupan dan orang lain. Bak kata pepatah jauh perjalanan luas pemandangan. Saya bersyukur atas ruang dan peluang yang Allah berikan kepada saya,” katanya.

Anak ketujuh daripada sembilan beradik ini mendapat pendedahan dalam dunia masakan sejak kecil.

Malah beliau berkebolehan menebar roti canai sejak berusia 10 tahun di restoran milik keluarganya di Ranau, Sabah.

Keluarganya turut memiliki sebuah restoran yang menggunakan namanya, Siti Safura di Telupid. Tetapi selepas berpindah ke Temerloh, Pahang tempat makan itu ditutup.

Rancang buka restoran

Melewati laman FB Siti Safura, aneka sajian berasaskan bunga telang hasil sentuhannya dikongsi.

Ada pemanis mulut onde-onde bunga telang, kuih permata bunga telang, kuih bakar bunga telang, kuih ketayap bunga telang dan dalgona coffee bunga telang.

Dalam salah satu perkongsian berhubung sajian disediakan itu, Siti Safura turut menitipkan beberapa tips bahawa bunga telang banyak khasiat, sungguhpun tiada rasa.

“Selain khasiat, kekuatan bunga telang ada pada warnanya yang cantik. Jadi kalau buat kuih ketayap atau lain-lain jenis sajian, rasanya boleh dipertingkatkan dengan meletakkan perasa tidak berwarna seperti essen vanila.

“Kalau perasa kita gunakan itu memiliki warna, ia dikhuatiri boleh mempengaruhi cantik warna biru telang itu. Rasanya boleh buat pewarna bunga telang di pasaran, belum ada lagi kan? Siapa yang banyak bunga telang boleh buat berniaga,” katanya.

Perkongsian itu menunjukkan seolah-olah bunga itu amat istimewa buat dirinya.

“Benar, saya ada perancangan untuk komersialkan bunga telang sebagai produk dan identiti perniagaan saya pada masa akan datang,” katanya ringkas.

Bunga ungu ini cantik dan bermanfaat.

Jurnal Influences of Environ­mental Conditions to Phytocon­stituents in Clitoria ternatea (Butterfly Pea Flower) – A Review menyatakan, antosianin yang terdapat dalam  bunga  telang berguna dalam me­ningkatkan aliran  darah lingkaran neuro-retinal saraf optik  dan peripapillary retina.

 

 

info

Bunga Telang
» Tingkat kesihatan otak: Kandungan Acetylcholine dalam bunga ini baik untuk otak. Pengurangan bahan berkenaan menjadi punca individu mudah mengalami masalah hilang ingatan.
» Cegah kanser: Bahan cyctotides dalam bunga ini, diperkaya peptida dengan manfaat antikanser.
» Rawat keradangan: Pengambilan bunga ini dalam bentuk teh membantu merawat keradangan dan pembengkakan tubuh.
» Masalah kulit: Menyem­buhkan penyakit kulit dan sengatan serangga.
» Antioksidan: Kaya dengan antioksidan dan anti-glycation yang berupaya mencegah penuaan.

 

Siti Safura Mohd. Tawil
» Usia: 28 tahun
» Asal: Ranau, Sabah
» Pengalaman kerja:
-Tukang masak peribadi Duta Malaysia di Ottawa (2016-2018).
-Cef di kediaman Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Dublin, Ireland (2018 hingga kini)
» Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Seni Kulinari dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor.
» Kemenangan:
– 2016: Juara Embassy Chef Challenge 2016 di Ottawa, Kanada.
– 2020: Pingat emas dan perak masing-masing untuk kategori India-Asia dan Pasta Risotto pada Pertandingan Cef Kulinari 2020, di Dublin, Ireland.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya