KUALA LUMPUR: Penyanyi Nubhan Ahamad menjelaskan video tular menunjal kepala isterinya baru-baru ini adalah ‘prank’ sempena ulang tahun perkahwinan kelimanya.
Tambah Nubhan, mengikut perancangan adegan itu dibuat bagi menaikkan kemarahan isterinya Dr. Afifah Hidayah Tawfek sebelum dia menghadiahkan sebuah kereta mewah.
“Isteri saya memang sudah lama memasang impian untuk mempunyai kereta Toyota Vellfire, jadi saya mahu hadiahkan kereta itu sempena ulang tahun perkahwinan kami.
“Ketika video itu dirakam memang isteri tidak tahu malah rancangan saya untuk membuatkan dia marah juga tidak berjaya walaupun sudah berusaha sebaik mungkin. Memang tidak terniat sebenarnya mahu menunjal kepala dia, tidak sengaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengakui rasa bersalah kerana menunjal kepala isterinya dalam memberikan lakonan yang baik. Nubhan bagaimanapun tidak kisah dengan kecaman warganet memandangkan dia sudah memuat naik keseluruhan video ‘prank’ itu di laman YouTube miliknya .
“Saya akui memang rasa bersalah menunjal kepala isteri saya, jujurnya hubungan saya dengan isteri tidak ada apa-apa masalah pun sehingga kini memandangkan apa yang berlaku hanya ‘prank’. Malah isteri juga hanya ketawa bila semuanya berakhir.
“Mengenai kecaman saya tidak rasa selepas ini takut untuk melakukan apa-apa ‘prank’ lagi sebab soal kecaman ini kita tidak lakukan apa-apa pun boleh kena kecam,” katanya.
Sementara itu ditanya sama ada video ‘prank’ ini dibuat dalam mempromosikan apa-apa produk miliknya. Nubhan memberitahu dia tidak terfikir ke arah itu.
“Memang perancangan ini untuk membuat kejutan sahaja. Bukan gimik untuk melariskan apa-apa produk,” jelasnya.