Berniaga tetapi mahu kongsi lebih 50 peratus keuntungan kepada masyarakat? Adakah orang atau pihak yang sanggup berbuat demikian dalam dunia yang semakin materialistik hari ini?
Memang bunyinya gila atau tidak masuk akal. Namun, itulah realitinya di MyKampung Fresh Mart, pasar raya yang terletak di Seksyen 24 Shah Alam, Selangor. Ia dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Multiracial Reverted Muslim (MRM).
Beroperasi di tapak seluas 1,220 meter persegi dan akan dirasmikan pembukaannya bulan depan, mempelbagaikan lagi sisi dakwah MRMM yang ditubuhkan oleh pendakwah Cina Muslim, Firdaus Wong Wai Hung.
Kata Firdaus, pasar raya yang dibuka mulai 12 Jun lalu memperkukuhkan lagi segmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) MRMM yang ditubuhkan pada 2012.
Katanya, misi dan visi pasar raya itu mengembalikan semula keuntungan kepada masyarakat. Bukan 10 atau 20 peratus tetapi lebih 50 peratus keuntungan akan dipulangkan.
“Harga barang-barang yang dijual adalah kompetitif. Malah, ada yang lebih murah. Jika kami dapat harga murah daripada pembekal, kami jual lebih murah. Kami masih untung cuma jumlahnya tidak banyak.
“Slogan kami adalah bayar bagi yang mampu, ambil bagi yang perlu, derma bagi yang mahu kerana komuniti prihatin yang kami mahu,” katanya kepada Utusan Malaysia dalam pertemuan di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Setakat ini, sambutan pelanggan adalah melebihi jangkaan. Jumlah perolehan mengatasi unjuran pada bulan pertama operasi dan sudah mencatat keuntungan walaupun tidak banyak.
Pasar raya ini menyediakan 1,000 jenis barang dan akan ditambah kepada 2,000 barang apabila beroperasi sepenuhnya.
Firdaus berkata, lokasi premis itu di kelilingi kawasan industri kecil dan sederhana yang sebahagian besarnya adalah bengkel kenderaan.
“Alhamdulillah, orang yang datang memang mahu membeli di sini bukan datang secara tidak sengaja. Kawasan letak kereta pun ada kira-kira 20 petak sahaja.
“Kami potong sedikit jumlah untung. Contohnya, kalau harga ayam di pasaran adalah RM17 seekor, kami jual RM16 sahaja. Untung tetap untung cuma ia kurang sikit. Itu tidak mengapa kerana ia jadi medium dakwah kami,” katanya.
MyKampung Fresh Mart mempunyai 13 staf dan ia beroperasi mulai pukul 8 pagi hingga pukul 8 malam setiap hari.
Firdaus berkata, pihaknya membuka peluang kepada masyarakat untuk bersedekah sambil berbelanja melalui Food Bank yang disediakan.
Katanya, ia dijayakan melalui pembelian para pelanggan yang keuntungannya akan disalurkan semula kepada masyarakat terutama golongan yang memerlukan tanpa mengira agama dan warna kulit.
“Kami menjalankan perniagaan berlandaskan Islam. Sebab itu kami tidak mahu ia menjadi igauan kerana kita bawa nama besar Islam.
“Kami tidak boleh gagal. Jika gagal, orang akan kata cara perniagaan Islam gagal,” jelasnya.
Food Bank
Sementara itu, Firdaus berkata, golongan yang memerlukan boleh datang dan mengambil barangan keperluan di Food Bank secara percuma.
Katanya, barangan yang disediakan termasuk beras, roti, telur, minyak masak dan guna yang jumlahnya cukup bagi menampung keperluan satu ke dua minggu.
“Kami tak beri barang yang terlalu mewah tetapi matlamat kami adalah di mana sahaja kami berniaga di situ tidak ada kebuluran.
“Kami cuma catatkan butir peribadi penerima untuk rekod. Jika selepas tempoh tertentu mereka tidak datang kami akan hantar sukarelawan membuat siasatan manalah tahu mereka ditimpa musibah atau sebagainya,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Firdaus berkata, pasar raya itu menetapkan jumlah RM60,000 ke RM70,000 sebulan untuk disalurkan ke Food Bank.