Kucing cantik dengan bulu gebu pasti menarik perhatian ramai. Aksinya yang manja menambat hati untuk dukung lantas membelainya.Kucing cantik tidaklah terjadi sendiri. Ia memerlukan usaha daripada tuan rumah juga.
Selain memberikan si manja makanan berkhasiat dan persekitaran tempat tidur bersih, kucing turut memerlukan makanan tambahan bagi memastikan pertumbuhannya baik dan dapat membesar dengan sempurna.
Pengasas thekittycoach, Ahmad Fadhilat Fitri Ismail berkata, bulu cantik boleh diperoleh menerusi makanan tambahan khusus. Ini kerana setiap makanan tambahan memiliki fungsi berbeza.
“Kebanyakan pengeluar produk makanan tambahan mendakwa produk mereka terbaik.
“Kalau salah pilih, mungkin kita sukar mendapatkan kucing idaman. Mungkin kucing kelihatan cergas tetapi bulunya tidak panjang dan lebat,” katanya.
Ahmad Fadhilat memberitahu, jika pada mata kasar kucing tampak sihat dan aktif, apa yang dia perlukan ialah makanan kucing yang berkualiti makanan tambahan penggalak pertumbuhan bulu.
Ini kerana katanya, memberi kucing terlalu banyak vitamin dan mineral boleh membawa mudarat.
Menurut University of Georgia College of Veterinary Medicine, kebanyakan kucing yang dibela mendapat pemakanan lebih lengkap daripada manusia. Justeru, hanya dalam keadaan tertentu seperti kucing menghidap penyakit maka makanan tambahan bersesuaian boleh diberi.
Ahmad Fadhilat berkata, sebelum mengidamkan bulu kucing cantik, pemiliknya perlu pastikan fizikal kucing itu sihat. Bukannya terus fokus kepada kecantikan.
“Apabila sudah sihat barulah diberikan makanan tambahan untuk kecantikkannya. Kalau tidak, kita pasti gagal mencapai apa yang kita ingini,” katanya.
PERHATI PERKEMBANGAN
Lihat perkembangan kucing anda sebelum makanan tambahan untuk kecantikan diberikan. Ia mungkin tidak sesuai untuk kucing sedang bunting.
“Verterinar akan mencadangkan makanan tambahan yang bersesuaian.
“Paling penting, tidak digalakkan diberi makanan tambahan untuk kecantikan dalam waktu begini,” katanya.
Ahmad Fadhilat turut mengingatkan pemilik kucing bahawa makanan tambahan berlebihan boleh mendatangkan mudarat kepada kucing.
Kurangkan memberi makanan tambahan berganda kerana mungkin ia sudah terdapat dalam makanan atau susu kucing yang diberikan.
“Lihat label kerana kebanyakan makanan harian kucing yang sedia ada sudah dilengkapi multivitamin dan mineral mencukupi untuk kucing.
“Sebab itu, kita kena berhati-hati dalam memastikan apa yang kita beri itu tidak memudaratkan kucing kita,” katanya.
Lebih daripada itu, kucing dari peringkat umur yang berbeza memerlukan keperluan yang berbeza, lantara itu, kita kena berhati-hati dalam memastikan apa yang kita beri itu, tidak mendatangkan mudaratkan kepada si manja.

Tips bulu kucing cantik:
* Sikat – gunakan bulu khusus. Ia membantu memisahkan bulu yang sudah mati selain berupaya menyingkirkan kekotoran pada badannya.
* Syampu – jenis khas untuk bulu kucing
* Penyembur – tidak wajib tetapi ia memiliki fungsi melembut dan mengilatkan bulu kucing.
* Diet – pilih jenis kaya omega 6 dan omega 12.
* Periksa – Perubahan tingkahlaku dan selera pertanda ia dijangkiti parasit.
* Rawatan – lakukan kunjungan berkala memastikan ia sentiasa berkeadaan baik.