Khai Bahar tetap tunggu Istana Budaya - Utusan Malaysia

Khai Bahar tetap tunggu Istana Budaya

KHAI BAHAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPATUTNYA dia sudah menyelesaikan impiannya untuk beraksi di pentas Istana Budaya (IB) untuk konsert solo pertamanya pada 27 Mac lalu. Namun siapa menduga perancangan yang mengambil masa hampir setahun itu akhirnya terpaksa ditunda.
Ternyata penularan wabak Covid-19 di negara ini memaksa semua pihak untuk menghormati pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak 18 Mac lalu.
Ketika ini juga sama seperti peminat, Khai Bahar sendiri masih belum tahu sama ada Konsert Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia akan dipersembahkan dalam waktu terdekat.

“Saya akui sedih tetapi kena terima apa yang terjadi ini akan ada hikmah yang lebih baik. Melihat apa yang terjadi saya yakin keputusan yang dikeluarkan kerajaan adalah untuk kebaikan bersama.
“Jika ditakdirkan bukan tahun ini untuk saya mengadakan konsert tidak mengapa, kerana seperti rakyat Malaysia yang lain apa yang saya harapkan adalah keselamatan untuk semua pihak,” katanya.
Masih belum mendapat maklum balas daripada pihak Istana Budaya ketika ini, menurut Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, 26, dia sebenarnya masih menaruh harapan untuk melihat konsert solo pertamanya diadakan di lokasi berprestij itu.
“Saya memang menaruh harapan untuk konsert pertama saya diadakan di Istana Budaya, sebab itu saya berdoa agar kesulitan yang melanda negara kita ini akan segera beredar dan sekali gus memberi kehidupan yang lebih baik untuk semua.
“Malah peminat saya sendiri cukup memahami dengan apa yang berlaku dan tidak ada masalah apabila konsert ini terpaksa ditunda kepada tarikh yang belum pasti.
“Seperti saya, mereka juga menaruh harapan untuk melihat saya beraksi di atas pentas IB tetapi dalam waktu yang sama juga mahu memastikan keselamatan masing-masing terjamin,” tambahnya.
Jika ada yang melihat segala persiapan yang dibuat untuk konsert ini hanya sia-sia sahaja, bagi Khai dia tidak mahu berfikiran begitu.
Katanya, persiapan yang dibuat untuk konsert solo itu bukan sahaja memberikan ilmu baharu namun dalam masa yang sama, apa yang dipelajarinya sepanjang setahun ini banyak membantu karier sebagai penyanyi.
“Saya tidak melihat segala persiapan dan kelas-kelas nyanyian dan tarian yang saya hadiri untuk konsert ini sebagai sia-sia, sebab itu semua ilmu yang berguna untuk kerjaya saya sebagai penghibur.
“Jika ada rezeki konsert saya diteruskan nanti, tentunya ilmu yang saya miliki ini akan membantu, malah sepanjang kami melakukan persiapan juga apa yang penting pengalaman yang kami miliki cukup berharga,” tambahnya.

Pendapatan terjejas
Melihat beberapa peraturan yang diperkenalkan tidak menyebelahi anak seni sepertinya, bagi Khai soal pendapatan terjejas itu bukan satu omongan kosong buat dirinya.
Namun ini tidak menjadi sebab untuk dia tidak bersyukur. Jelasnya, dalam tempoh ini dia bukan sahaja mencabar dirinya untuk melakukan sesuatu yang berbeza tetapi juga belajar untuk bersedia dengan apa juga kemungkinan suatu hari nanti.
“Sama seperti rakyat Malaysia yang lain, saya akui pendapatan agak terjejas dalam tempoh ini. Perubahan yang perlu dilalui saya sebagai penghibur sedikit sebanyak memberi kesan kepada kerjaya seni saya.
“Siapa sangka bukan sahaja Malaysia tetapi seluruh dunia berhadapan dengan wabak ini. Walaubagaimanapun sama seperti orang lain saya juga perlu lebih kreatif untuk meneruskan kehidupan. Alhamdulillah sehingga ke hari ini semuanya baik-baik sahaja,” katanya lagi.
Memandangkan tiada persembahan yang boleh dihadiri peminatnya buat masa ini, kata Khai, dia tidak mahu menjadikan tempoh ini sebagai alasan untuk tidak menghiburkan mereka di luar sana.
Menggunakan laman sosial sebagai tempat berinteraksi dan membuat persembahan, ini sedikit sebanyak membuatkan dia dapat memanfaatkan masa yang ada dengan lebih baik.
“Saya memang menggunakan laman sosial untuk berinteraksi dengan peminat dan dalam masa yang sama juga turut menjadikan YouTube dan Instagram sebagai platform untuk membuat persembahan.
“Saya tidak melihat aktif di laman sosial itu sebagai sesuatu yang negatif untuk penghibur seperti saya memandangkan dalam tempoh ini penggunaan media sosial secara tidak langsung membuatkan saya terus relevan dalam industri,” katanya.

Jumpa peminat?
Walaupun ketika ini sudah ada kelonggaran yang diberikan untuk berkumpul dengan jumlah kehadiran yang minimum namun bagi Khai keperluan untuk bertemu peminat tidaklah menjadi fokus utamanya lagi.
Lebih selesa untuk berinteraksi secara maya sahaja, tambahnya buat masa ini dia mahu peminatnya berada dalam keadaan yang selamat.
“Buat masa ini memang tiada perancangan untuk bertemu peminat, sebab dalam tempoh ini saya memang aktif di laman sosial jadi keperluan untuk bertemu secara fizikal itu bukan lagi keutamaan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya