Keindahan pantai pulau legenda - Utusan Malaysia

Keindahan pantai pulau legenda

BUTIRAN pasir putih menambah keindahan Pantai Tanjung Rhu yang disenarai antara 100 pantai tercantik dunia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pulau Langkawi ‘hidup’ semula. Itulah yang dapat disimpulkan apabila 1,000 bilik hotel di pulau ini dikatakan telah ditempah dalam tempoh 45 minit pada 7 Jun lalu.

Semua ini memberi sinar baharu kepada industri pelancongan negara selepas ia teruk terjejas ekoran Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac lalu.

Pantai Cenang antara lokasi menerima kunjungan ramai apabila ke pulau legenda ini. Namun Langkawi bukan hanya ada Pantai Cenang yang cantik, sebaliknya ada tujuh lagi pantai yang masih belum terusik yang harus dijejaki.

Pantai Tengah

Jika anda berada di Pantai Cenang anda juga harus mengunjungi Pantai Tengah. Kedudukannya hanya bersebelahan dengan Pantai Cenang.

Pantai ini dihiasi pasir halus dan landai, amat sesuai untuk mandi-manda. Lokasi ini membolehkan anda dapat melihat dengan jelas kehijauan Pulau Tepor.

Pantai Tanjung Rhu

Dalam kalangan masyarakat tempatan, Pantai Tanjung Rhu dikatakan memiliki persekitaran lebih mengagumkan berbanding Pantai Cenang. Keindahan itu turut masyhur diperkatakan media antarabangsa apabila rangkaian televisyen Cable News Network (CNN) menyenaraikannya sebagai antara 100 pantai tercantik di dunia.

Sama ada benar atau sebaliknya, anda perlu menikmati sendiri pengalaman itu apabila makan angin ke sini. Hidangan laut yang segar di restoran terapung juga antara program wajib dinikmati oleh anda sekeluarga ketika berada di sini. Aktiviti lain yang boleh dilakukan adalah memancing.

Pantai Pasir Tengkorak

Mengikut legenda tempatan, suatu masa dulu terdapat raksasa laut atau air pusar yang menenggelamkan banyak kapal dan kemudian mencampakkan tengorak mangsanya di pantai ini. Dari situlah nama Pantai Pasir Tengkorak diambil.

Kedudukannya yang agak jauh daripada kawasan tumpuan orang ramai menyebabkan pantai ini tidak begitu popular dalam kalangan pelancong luar. Secara langsung, ia menjadikan lokasi itu sebagai lebih eksklusif untuk pengunjung berehat atau menikmati keindahan alam dengan tenang, tanpa serabut melihat kehadiran orang ramai mencari siput dan kerang laut.

Pasir pantainya yang putih dan halus, menjanjikan air jernih bagaikan kristal. Pemandangan itu pasti menggamit anda untuk terus menghargai keindahan kurniaan Ilahi. Persekitarannya juga amat bersih kerana lokasi itu diseleggara sepenuhnya oleh Jabatan Hutan Langkawi.

Teluk Burau

Kedudukannya agak tersembunyi kerana ia terletak di sepanjang pesisir barat Langkawi. Anda hanya mengambil masa kira-kira 10 minit berjalan kaki dari Langkawi Cable Car sekiranya anda ingin ke sini.

 

 

PENGUNJUNG menikmai keindahan pantai Teluk Burau berhadapan dengan Gunung Mat Cincang.

Pantai bersih dan cantik ini, mengadap Gunung Mat Cincang dan lokasi menarik lain sekitar Pulau Langkawi. Walaupun pesisir pantainya sepanjang dua kilometer (km), hanya bahagian tengah pantai itu dibuka kepada umum.

Bahagian-bahagian lain pantai itu, iaitu sekitar Teluk Burau terletak di bawah pengurusan pusat peranginan swasta bertaraf lima bintang iaitu Berjaya Langkawi Resort dan The Danna Langkawi.

Pantai Pasir Hitam

Walaupun namanya hitam, tetapi pasir pantai ini bukanlah hitam cuma ia lebih kepada gelap. Menurut cerita penduduk tempatan, rona itu terjadi hasil campuran pasir hitam dan putih yang dilakukan oleh duyung, lantaran marah dengan perbuatan seorang nelayan mencuri cincin kesayangannya.

Menurut cerita yang lain pula, ada yang percaya, hitam itu bukanlah pasir, sebaliknya berpunca daripada tanah sawah yang dibakar oleh petani pada tahun 1821.

Pantai ini terletak empat kilometer di barat daya Pantai Tanjung Rhu. Anda hanya mengambil masa kira-kira 20 minit perjalanan dari Langkawi Cable Car.

Namun pantai ini sesuai untuk aktiviti riadah dan bukannya mandi manda kerana bentuk muka buminya.

Datai Bay

Lokasi ini adalah pantai persendirian yang dikongsi oleh beberapa pusat peranginan lima bintang iaitu The Datai dan The Andaman. Perjalanan ke sini, agak mencabar kerana laluan utamanya yang agak sempit.

Anda perlu menyusuri bukit merentasi kawasan berhutan di kiri kanan jalan untuk sampai ke Pantai Teluk Datai.

Sekiranya bernasib baik, anda mungkin berpeluang melihat sekumpulan ikan lumba-lumba yang sesekali muncul di kawasan laut Andaman yang terbentang luas.

Lembaga Pembangunan Langkawi mencatatkan angka kemasukan pelancong ke pulau itu 2019 adalah kira-kira3.9 juta pengunjung, manakala sehingga Mei 2020, sebanyak 810,867 berkunjung ke sana.

Angka itu dijangka semakin meningkat selepas berakhirnya perintah kawalan pergerakan pemulihan yang tamat Ogos ini.

Bagi rakyat Malaysia yang ingin bercuti di dalam negara, Langkawi patut dimasukkan dalam senarai destinasi anda. Selain menikmati keindahan alam semulajadinya anda turut menyumbang kepada sektor ekonomi negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya