Ruang sempit bukan alasan untuk meminggirkan aspek dekorasi. Menepati ilham ‘rumahku syurgaku’ lokasi berkenaan, seharusnya mendatangkan ketenangan kepada tuan rumah.
Hiasan dalaman sesedap mata memandang, sudah pasti membuatkan tetamu turut merasai kehadirannya dialu-alukan. Sempit atau kecil bukan persoalan asalkan kita memiliki keinginan bersulam kreativiti.
Situasi sama dirasai pengguna, Hermie Ismail, 25. Kepakarannya adalah menghias kediaman apartmen yang sempit menjadi luas dengan permainan warna dan kemasan perabot serta perhiasan lampu. Lebih menarik, kosnya cuma RM700 bagi mengubah suai bilik tidurnya.
Dengan hanya menggunakan barangan terpakai dan murah, beliau menghasilkan transformasi ruang bilik tidur yang sangat eksklusif menerusi tema warna putih, perak dan kuning cair.
“Tidak perlu habiskan wang ribuan ringgit. Sebaliknya cuba lakukan sendiri. Walaupun ia mungkin mengambil masa untuk disiapkan, tetapi berbaloi apabila kita puas hati.
“Selalunya kita akan dihantui dengan pendapat bahawa menghias rumah akan menelan kos yang tinggi. Namun, tidaklah seperti yang anda sangkakan sekiranya kita melakukan sendiri dekorasinya.
“Dengan menggunakan barangan yang boleh didapati di kedai barangan perhiasan rumah, kita boleh membuat bajet sendiri dengan mencari harga berpatutan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Hermie berkata, tidak sukar mencari idea kerana mutakhir ini, bagaikan sudah menjadi aliran terkini apabila pengguna media sosial gemar melontar idea berhubung isu hiasan dalaman .
Baru-baru, beliau berkongsi beberapa ilham dekorasinya dengan hanya menggunakan barangan terpakai dalam sebuah kumpulan dekorasi facebook. Perkongsian itu mendapat kira-kira 5,000 tanda suka.
Peniaga muda ini menjelaskan, idea mengubah suai bermula dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.
“Kita hanya memerlukan kemahiran dan kreativiti dalam menghias ruangan rumah menjadi lebih menarik tanpa perlu mengeluarkan wang yang banyak,” katanya.
Pada peringkat awal Hermie hanya ingin mencari cermin untuk diletakkan dalam bilik bagi mendapatkan ilusi bilik lebih luas.
“Saya beli cermin berbingkai tetapi saya hanya mahukan cermin. Justeru bingkai cermin itu saya pisahkan.
“Lantas saya terfikir daripada bingkai itu saya buang, lebih baik jadikan ia sebagai bingkai gambar dan hiasan dinding,” katanya.
Hermie berkata, idea yang dikongsi menggunakan bingkai gambar ini boleh diguna pakai untuk semua jenis ruangan sama ada sempit atau rumah kos rendah.
Oleh itu, bagi anda yang ingin menghias rumah, ingat bahawa menghias rumah bukan boleh disiapkan dalam sehari.
Ia mengambil masa mengikut kesesuaian bajet dan idea. Yang penting jangan terburu-buru dan sentiasa tenang sebelum memulakan kerja-kerja pengubahsuaian.