KUALA LUMPUR – Memiliki minat yang sama dalam bidang muzik membawa perkenalan dua anak muda berbakat besar, Muhammad Fahimi Rahmat, 23, dan Muhammad Ikhmal Mohd Hamka, 25.
Walaupun pada mulanya kedua mereka mempunyai karier berbeza namun, apa yang mereka mulakan dengan minat ini akhirnya berjaya membuka ruang bergelar penyanyi kini melalui jenama FML .
Bernaung di bawah syarikat muzik, Faithful Music milik penyanyi Faizal Tahir sejak tahun lalu FML kini muncul dengan single sulung berentak R&B berjudul Payung Terjun
“Kami kenal kerana masing masing suka buat ‘cover’ lagu artis lain selain bermain alat muzik seperti gitar. Apabila melihat minat masing masing begitu ketara, kami bergabung membuat ‘cover’ bersama sama.
“Tak sangka pula entri video yang dikongsi di Instagram menarik minat pihak Faithful Music untuk bernaung di bawah label mereka.
“Nama FML itu sendiri ialah gabungan nama saya (Fahimi) dan Mal (Ikhmal). Ikutkan biarpun saya menjual kek dan Mal berniaga kerepek, kami banyak habiskan masa meneroka bidang muzik secara sendiri.
“Saya dan Mal sendiri gemar melakukan susunan muzik sendiri secara suka suka. Siapa tahu masa depan nanti kami boleh jadikan bidang itu secara profesional.
“Kebanyakan lagu ‘cover’ kami, saya dan Mal lakukan komposisinya sendiri. Mal pula memiliki suara yang unik,” kata Fahimi mewakili teman duonya, Ikhmal.
Kata Fahimi lagi, mereka juga secara peribadi sangat bersyukur dibimbing Faizal Tahir yang sejak sekian lama menjadi inspirasi buat muzik mereka.
“Bukan nak bodek ke apa, tapi kalau dulu memang melihat Faizal Tahir daripada jauh. Alhamdulillah sekarang dapat bekerjasama sekali.
“Memang mimpi jadi nyata. Dalam hidup ini, tiada yang mustahil. Kami juga percaya dengan bakat dimiliki serta bimbingan serta sokongan Faithful Music, FML boleh terbang tinggi. Insya-Allah,” kata Fahimi.
Ditanya mengenai lagu Payung Terjun ia memberi pelbagai terjemahan maksud.
Lagu berkenaan dirakamkan sekitar Mei lalu selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Dalam erti kata lain, Payung Terjun ini memberi simbolik bahawa dalam setiap apa yang terjadi pasti ada jalan penyelesaian
“Kalau dilihat dalam soal jodoh… kita selalu sebut kalau ada jodoh takkan ke mana. Begitu juga jika ada masalah dalam hidup, ada cara menanganinya.
“Pendek kata rezeki akan sampai, masalah akan selesai dan jodoh juga akan tiba. Dalam lirik lagu ini juga ada menyebut everything gonna be alright, tak perlu risau. Insya-Allah,” katanya.