KUALA LUMPUR: Selepas empat tahun menyimpan lagu ciptaannya sendiri, penyanyi Black Hanifah kini muncul dengan Sabar.
Lagu itu merupakan luahan hatinya sepanjang bergelar penyanyi, yang ternyata sentuhan peribadi itu membuatkan ia cukup dekat dengan dirinya.
“Apa yang boleh saya katakan ialah lagu Sabar ini sangat lain dari lagu-lagu yang dihasilkan beberapa tahun sebelum ini. Ia lagu balada yang memang kena dengan jiwa saya. Kalau nyanyi pun memang ‘feel‘ sepenuhnya.
“Dalam erti kata lain, lagu ini sebenarnya mengembalikan zaman saya mula-mula dulu. Kiranya kalau dengar lagu ini, orang sudah tahu ia adalah muzik dan identiti saya. Sewaktu proses rakaman pun semuanya mudah dan cepat saja sebab saya sudah faham melodi, lenggok dan lirik,” katanya.
Sementara itu menjelaskan mengapa dia mengambil masa sehingga empat tahun untuk melancarkan lagu ini, kata Black, sikap tidak yakin diri empat tahun lepas membuatkan dia lebih selesa untuk tidak mengeluarkan lagu ini lebih awal.
“Lagu ini 100 peratus hasil ciptaan saya. Sepanjang 12 tahun dalam industri, saya curahkan semua perasaan dalam lagu ini yang mana sudah disimpan selama empat tahun.
“Alasannya, ketika itu saya tidak yakin dengan diri untuk menghasilkan lagu sendiri. Namun, sepanjang tempoh itu saya ada memperdengarkan lagu ini kepada rakan penyanyi lain. Maklumbalas diberikan, mereka cakap kenapa saya tidak rakamkan lagu ini.
“Apabila lagu ini siap sepenuhnya dan dengar semula, mereka siap boleh hafal lagi. Itu menambahkan lagi keyakinan saya untuk mengeluarkan lagu ini. Malah, rakan bukan dalam industri pun suka dan jatuh cinta dengan lagu ini,” katanya.
Sementara itu lagu ini sudah dilancarkan di semua platform digital muzik seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox dan Deezer bermula hari ini. – UTUSAN