Batu karang pun bertelur - Utusan Malaysia

Batu karang pun bertelur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Batu karang ialah benda hidup. Batu karang ialah haiwan yang mempunyai tulang yang diperbuat dari kalsium karbonat.

Antara tulang tersebut mempunyai tisu dan organ-organ seperti mulut, perut dan organ reproduktif.

Walau bagaimanapun, pada permukaan tisu batu karang tersebut, terdapat sejenis tumbuhan alga yang hidup secara simbiosis dengannya.

Pelbagai batu karang tersebut membentuk terumbu karang seperti yang kita dapat lihat di sekitar pulau-pulau Malaysia.

Kebiasaannya batu karang cuma hidup di kawasan air yang jernih dan tanpa pencemaran. Malaysia adalah antara enam negara selain Filipina, Timor Leste, Papua New Guinea, Indonesia dan

Kepulauan Solomon yang membentuk Segitiga Terumbu Karang.

Kawasan Segitiga Terumbu Karang merupakan kawasan yang mengandungi kepelbagaian hidupan marin tertinggi di duniaIa meliputi perairan seluas kira-kira lima juta kilometer (km) persegi dan didiami 605 spesies terumbu karang serta kawasan habitat kepada 2,228 spesies ikan.

Sama seperti haiwan yang lain, proses pembiakan secara seksual ini memerlukan persenyawaan antara sperma dan telur.

Setakat ini sebanyak 16 spesies peneluran batu karang berjaya direkodkan di negara ini.

Uniknya, fenomena peneluran batu karang ini berlaku secara serentak atau seragam (synchronous coral spawning) iaitu beberapa batu karang yang berlainan spesies turut sama mengeluarkan telur dan sperma mereka secara serentak di seluruh dunia.

Ia merupakan salah satu fenomena yang menakjubkan bagi ekosistem terumbu karang. Fenomena ini jarang ditemukan kerana batu karang memerlukan keadaan yang spesifik sebagai pencetus untuk hidupan berkenaan mula melepaskan telur.

Kebiasaannya, tempoh peneluran batu karang ini berlaku ketika bulan mengambang penuh ataupun supermoon. Ketika malam bulan mengambang penuh, keadaan di laut lebih terang daripada biasa.

Dalam masa yang sama, air laut turut mengalami keadaan surut besar ataupun air mati iaitu pergerakan air laut paling minimum dan berada pada tahap paling cetek.
Oleh itu, ketika peneluran batu karang secara serentak atau seragam berlaku, berjuta-juta telur dan sperma dilepaskan ke permukaan air laut dan proses persenyawaan di antara sperma dan telur secara maksimum berlaku.

Di Malaysia, peneluran berlaku secara seragam pada awal tahun iaitu Februari hingga Mac dan akhir tahun iaitu Oktober hingga November bergantung kepada lokasi dan spesies batu karang.

Pakar penyelidik batu karang Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Tan Chun Hong sudah mula mengkaji mengenai fenomena peneluran batu karang itu di perairan negara sejak 2004.

Sepanjang hampir 15 tahun menjalankan penyelidikan mengenai spesies marin tersebut, ini kali pertama beliau dapat merekodkan peneluran batu karang dalam air.

Awal tahun ini, beliau bersama sepasukan penyelidik UMT bernasib baik selepas berjaya merekodkan fenomena alam ini setelah mencuba nasib selama hampir seminggu di Pulau Bidong, Terengganu.

“Ini merupakan satu proses alam yang sangat penting untuk memastikan kemandirian spesies batu karang. Sekiranya proses ini tidak berlaku, keseimbangan ekosistem laut akan terjejas kerana tiadanya benih baharu untuk menggantikan batu karang yang sudah mati ataupun patah,” katanya.

Beliau berkata, dalam ekosistem yang seimbang, batu karang amat penting sebagai habitat kepada lebih beribu hidupan laut yang lain untuk berlindung.

Malah, batu karang juga bertindak sebagai pemecah ombak untuk mengurangkan hakisan pantai. Batu karang hidup dalam keadaan suhu air laut antara 27 hingga 30 darjah Celsius.

Terumbu karang membesar dengan cepat di dalam air yang jernih dan ditembusi oleh cahaya matahari. Cahaya matahari adalah penting di dalam ekosistem terumbu karang bagi menjamin pertumbuhannya dan alga mikroskopik (hidup dalam tisu-tisu polip) yang bersimbiosis.

Tiga kes kelunturan karang skala besar

Batu karang mengalami ancaman terutamanya berpunca daripada perubahan iklim dunia.

Dr. Tan Chun Hong berkata, salah satu impak yang dialami persekitaran marin di bawah perubahan iklim adalah kenaikan suhu air laut yang lebih tinggi berbanding keadaan normal.

Apabila suhu air laut meningkat lebih berbanding keadaan normal dan berlaku dalam jangka masa yang panjang seperti lebih daripada dua minggu, batu karang terpaksa mengeluarkan alga yang hidup secara simbiosis di dalam tisunya.

“Kelunturan warna berlaku apabila batu karang yang berwarna-warni berubah menjadi warna putih atau hilang warna disebabkan suhu laut yang menjadi panas akibat daripada pemanasan global tadi tu.

Beliau memberitahu, setakat ini terumbu karang di Malaysia telah mengalami tiga kali kelunturan berskala besar iaitu pada 1997/1998, 2010, dan 2015/2016.

Kata beliau, anggaran peratus kematian setiap kelunturan warna adalah antara lima hingga 10 peratus. Ini adalah jumlah yang amat tinggi.

“Untuk karang bercabang ia tumbuh sebanyak 10 sentimeter setahun, malahan untuk karang berbentuk massif iaitu tumbuh sebanyak satu milimeter (mm) setahun,” ujarnya.

Oleh sebab itu, kata beliau, ada beberapa kawasan taman laut ditutup pada 2010 semasa berlaku kelunturan bagi mengurangkan stres pada terumbu karang.

Menurutnya, penggunaan peralatan elektrik seperti kipas angin dan pendingin hawa yang meningkat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyumbang kepada pemanasan global.
Dengan itu katanya, ia memberi kesan negatif yang lebih teruk kepada terumbu karang. – LAUPA JUNUS

 

info

Terdapat beberapa jenis batu karang yang ada di kawasan perairan Malaysia.
Jenis tersebut dikategorikan kepada :

» Bercabang (branching)
Contoh: Staghorn Acropora

» Masif (massive)
Contoh: Porites

» Berselaput (encrusting)
Contoh : Montipora

* Dianggarkan terdapat lebih 550 spesies batu karang di negara ini dari kira-kira 800 spesies di seluruh dunia yang dikenal pasti oleh saintis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya