OLEH Muhamad Nazreen Syah Musthafa
PARIT: Buah kabong atau buah kantor sebutan dalam kalangan masyarakat di sekitar Perak Tengah disifatkan istimewa dan unik kerana ia hanya boleh didapati hanya semasa bulan puasa khususnya di Perak Tengah.
Buah kabong biasanya dijadika pemanis mulut semasa berbuka puasa dan enak dimakan bersama air gula dan dimasak bersama daun pandan.
Buah kabong sudah menjadi tradisi masyarakat sekitar Perak Tengah dan hanya dihasilkan pada bulan puasa.
Untuk menghasilkan buah kabong, banyak proses perlu dilakukan sebelum siap untuk dijual.
Selepas buah kabong diambil dari pokok, buahnya perlu dipisahkan daripada tandan, seterusnya merebus buah, mengeluarkan isi dan dimasak selama beberapa jam.
Selepas itu, buah kabong dikorek isinya, direndam dengan air biasa selama dua, tiga hari sebelum boleh dijual.
“Buat kabong memang istimewa bagi penduduk Perak Tengah kerana buah ini hanya muncul semasa bulan puasa sahaja. Rasanya enak dan berkhasiat begitu digemari sebagai pencuci mulut semasa bulan puasa.
Pengusaha buah kabong di sini, Muhammad Syazwan Shahidan berkata, dia sudah dua tahun mengusahakan buah kabong selepas belajar daripada bapa saudaranya.
“Orang dulu-dulu kata buah kabong mempunyai khasiat menyejukkan badan. Selain itu rasanya enak jika dicampur dengan sirap dan gula.
“Buah kabong dapat memberikan pendapatan tambahan buat kami semasa bulan puasa,” katanya.
Bagi Mustapa Shah Ghazali, 35, yang turut memanjat dan menurunkan tangkai buah kabong dari pokok, dia sudah 10 tahun berpengalaman menghasilkan buah kabong.
“Dalam sehari saya dapat menghasilkan antara 40 hingga 50 kiloram buah kabong untuk jualan biasa di tepi dalan dan jualan borong pembeli dari Taiping dan Kuala Kangsar.
“Kalau hari minggu, jualan boleh mencecah sehingga 120 kilogram. Buah kabong istimewa bagi penduduk Perak Tengah dan walaupun hanya dapat dibeli hanya pada bulan puasa, saya percaya perusahaan ini akan bertahan kerana buah ini mempunyai ramai penggemarnya,” katanya.