APABILA merakam gambar sukan kita seringkali tertumpu kepada pelbagai aksi. Aksi-aksi dalam perlawanan atau permainan ini sememangnya begitu menarik dan menjadi tumpuan jurufoto.
Pun begitu, dalam fotografi sukan terdapat satu elemen yang begitu menarik untuk dirakamkan iaitu detik-detik emosi ahli sukan itu.
Detik-detik ini selalunya berlaku hanya dalam beberapa saat sahaja jadi ia amat memerlukan tahap kepekaan yang tinggi untuk merakam saat itu.
Ini bermakna, jurufoto perlu membuat persediaan awal dengan mempunyai daya jangkaan yang baik untuk merakam gambar-gambar sebegini.
Selain itu, jurufoto perlu mengetahui dan memahami permainan sukan itu sendiri seperti kiraan mata, jaringan gol atau garis penamat yang membawa kepada momen-momen emosi berkenaan.
Dalam merakam foto sukan, ramai yang lebih tertumpu untuk merakam gambar aksi sehingga terlupa dan terlepas untuk merakam detik-detik emosi atlet tersebut.
Dalam kebanyakan keadaan, gambar sukan emosi menunjukkan wajah subjek, yang biasanya menarik perhatian kita untuk turut menghayati perasaan melalui ekspresi wajah dan bahasa badan pemain.
Gambar-gambar emosi seperti ekspresi kegembiraan, kehampaan atau kesedihan lebih mudah menyentuh hati dan emosi orang yang melihat.
Merakam detik emosi dalam sukan adalah jauh berbeza daripada merakam aksi permainan yang menumpukan perhatian pada pergerakan pemain atau atlet.
Emosi pada kebiasaannya lebih jelas menunjukkan pemain yang dipenuhi keraguan atau kegelisahan, kegembiraan atau kekecewaan sepanjang aksi sukan itu berlangsung.
Reaksi penonton atau penyokong juga boleh diambil kira dalam elemen ini yang bertindak balas terhadap permainan dalam sukan.
Fotografi sukan tidak seharusnya terhad kepada merakam aksi permainan semata-mata tetapi gambar yang baik juga boleh diperoleh dengan merakam emosi yang dibawa pemain dalam aksi sukan tersebut.