BS Freshmart labur RM32.9 juta lengkap 30 cawangan

BS Freshmart labur RM32.9 juta lengkap 30 cawangan seluruh negara

BS Freshmart
ANFAAL Saari menandatangani plak sebagai simbolik perasmian pembukaan cawangan BS Freshmart dekat Bandar Tasik Puteri sambil disaksikan Mohd. Rasul Razuan (dua, kanan), di Rawang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Syarikat Pasaraya BSK Sdn. Bhd. (BS Freshmart) bersama anak syarikatnya melabur sebanyak RM32.9 juta dalam usaha mengembangkan perniagaan mereka termasuk pembukaan lima cawangan baharu yang disasarkan pada tahun ini.

Pelaburan tersebut turut melibatkan kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi sektor perikanan yang menjadi fokus pasar raya berkenaan bagi pemasaran barangan keperluan kepada pengguna.

Pengarah Urusannya, Mohd. Rasul Razuan berkata, pada tahun ini BS Freshmart akan melengkapkan 30 cawangannya di seluruh negara yang melibatkan pembukaan premis di Banting, Kuala Langat; Kuala Krai, Kelantan; Endau, Pahang dan Puncak Alam, Kuala Selangor.

“Pelaburan lima kedai untuk di Jerantut kira-kira RM10 juta, Banting, Kuala Langat RM1.8 juta, di Kuala Krai, Kelantan RM2 juta. Pelaburan pada tahun ini bersama dengan sektor perikanan iaitu (dibawah) MAFI, kira-kira RM32.9 juta yang dibuat bersama–sama dengan anak syarikat kami.

“Kelebihan kita lebih kepada iaitu fokus sektor perikanan iaitu melibatkan bahan-bahan segar sahaja. Maksudnya kami jual ikan segar kepada pengguna. Juga termasuk produk-produk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pembukaan BS Freshmart Cawangan Bandar Tasik Puteri oleh Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, hari ini.

Anfaal memberitahu, pembukaan cawangan BS Freshmart di negeri ini akan dibantu oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui dasar Speed Selangor yang diumumkan pada Belanjawan 2025 Selangor, pada November tahun lalu.

“Saya ucapkan syabas kerana sebagai seorang usahawan bumiputera mewujudkan rangkaian pasar raya yang memberikan akses kepada peniaga-peniaga tempatan dan juga rakyat untuk mendapatkan bekalan dan perkhidmatan.

“Saya kira, ia bermula juga di peringkat PBT yang melibatkan kelayakan, pematuhan syarat-syarat dan sebagainya. Kita tahu sebenarnya untuk membuka pasar raya di ruang-ruang komersial, kebenaran merancang (KM) dan sebagainya dimudah cara oleh PBT,” ujarnya.

Tambahnya lagi, pembukaan cawangan BS Freshmart di negeri ini boleh dibantu pembekalan barangan makanan tempatan melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang memudah cara prosedur dengan petani-petani tempatan.

“Jadi, dengan itu kita akan ada satu kitaran ekonomi yang akan memudah cara bukan sahaja BS Freshmart mendapatkan bekalan, tetapi juga membantu petani-petani tempatan (memasarkan hasil),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya