KUANTAN: Seramai 38 usahawan emas Makmur Gold menerima insentif pakej umrah sebagai penghargaan kejayaan memenuhi sasaran jualan emas ditetapkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Makmur Gold, Mohd. Faizuddin Che Mahmood berkata, penerima pakej umrah ini mencapai pulangan tertinggi dengan capaian target penjualan emas melebihi 3.6 kilogram setahun.
Menurutnya, kesemua mereka yang begitu setia bersama syarikat ini bakal berlepas menunaikan ibadah umrah pada tahun hadapan.
“Kita semua terkesan sejak dua tahun lalu akibat Covid-19 dan usahawan inilah yang terus berusaha memastikan Makmur Gold mendapat kepercayaan dan pilihan pelanggan.
“Pemberian insentif ini akan dijadikan acara tahunan supaya dapat memberikan semangat dan galakan kepada lebih 2,000 usahawan kita di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis meraikan usahawan Makmur Gold di sini.
Sementara itu, Pengerusi Koperasi Makmur Malaysia Berhad (Ko-Makmur), Khairul Azam Awang berkata, Makmur Gold bakal membuka cawangan yang ke-14 di Putrajaya, Disember depan.
“Kita masih berada di landasan yang betul dan yakin dapat membuka 30 cawangan dalam tempoh tiga tahun seperti disasarkan sebelum ini.
“Sokongan dan kepercayaan berterusan daripada pelanggan menjadi pendorong utama Ko-Makmur untuk terus menawarkan produk emas berkualiti pada harga paling bersesuaian,” katanya.