KUALA LUMPUR: Usaha syarikat Bumiputera, Eskayvie Sdn Bhd (Eskayvie) untuk membantu ummah menjana pendapatan sejak fasa pandemik Covid-19 hingga endemik tidak pernah terhenti.
Sabtu lalu, syarikat ini membantu lebih 1000 usahawan Eskayvie Nexus di acara dipanggil Nexus Success Convention 2022 berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Setia Alam, Shah Alam.
Usahawan berkenaan datang dari seluruh Malaysia termasuk Sabah, Sarawak dan Singapura.
Pengarah Urusannya, Kartika Wati Mohamed berkata, program julung kali diadakan itu bertujuan membangunkan potensi kepemimpinan setiap individu di dalam usaha mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat global.
“Usahawan ini telah dilatih secara intensif sebaik sahaja berdaftar sebagai ahli. Sepanjang dua tahun menempuhi pandemik, pelbagai sesi latihan berkaitan sistem, pemasaran dan jualan telah diadakan hampir setiap hari secara atas talian.
“Istimewanya kali ini, konvensyen ini turut mengiktiraf pencapaian dan transformasi luar biasa usahawan Nexus berstatus Icon Circle yang berjaya menjana pendapatan melebihi lima angka sebulan pada tahun ini,” kata Kartika Wati.
Tambah Kartika Wati, meskipun tahun lalu rakyat semua telah berdepan pandemik dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, usahawan Nexus ini terus optimis.
“Mereka mampu melakukan perubahan dan beradaptasi dengan pelbagai cabaran di bawah bimbingan Eskayvie.
“Ini semangat juang berdaya saing yang kita mahu sampai bila-bila.
Kartika Wati berkata lagi, melalui visi memperkasakan kesihatan dan ekonomi ummah, mereka melihat ini sebagai satu misi dan tanggungjawab sosial berterusan.
“Semua dalam usaha melahirkan 1 juta usahawan Nexus aktif menjelang tahun 2027. Misi ini dilihat tidak mustahil kerana sehingga kini kami telah berjaya membantu lebih 70,000 orang usahawan Nexus meningkatkan tahap kewangan mereka.
“Kami turut mensasarkan jualan sebanyak 1 Billion US Dollar yang membabitkan pasaran sehingga ke 11 buah negara di Asia Tenggara. Dalam masa yang sama Eskayvie sentiasa bersedia dengan aktiviti kajian dan pembangunan yang berterusan.
“Ia termasuklah menghasilkan 500 produk baru yang berkualiti tinggi. Seterusnya mencipta 50,000 peluang pekerjaan kepada masyarakat,” katanya.
Hadir sama di persidangan berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Syid Ayob Syid Mustafa Al Qudri dan duta Eskayvie, Datuk Aznil Nawawi.
Aznil sendiri turut menyampaikan perkongsian mengenai penjenamaan dan skil komunikasi berkesan yang harus dikuasai oleh setiap usahawan Nexus.
“Sejak menyertai keluarga jenama ini, saya melihat usaha dilakukan tidak pernah bernoktah dalam pembangunan ummah.
“Tak kira daripada segi menawarkan produk dengan kualiti tinggi selain membantu ramai orang untuk menjana pendapatan, niat dan misi jenama ini saya pandang tinggi.
“Rasa kebersamaan juga wujud seperti kita sebuah keluarga besar yang sama-sama mengharungi pelbagai cabaran. Contohnya ketika di era pandemik Covid-19,” kata Aznil.