Ketepi rasa janggal, malu untuk berjaya - Utusan Malaysia

Ketepi rasa janggal, malu untuk berjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK pernah langsung terlintas di fikiran untuk memulakan perniagaan sepanjang hidupnya.

Pengurus DN’S Beauty Solution (DN’S Beauty), Syukry Radzuan, 37 berkata, dia sebelum ini lebih selesa bekerja makan gaji yang menjanjikan jaminan pendapatan bulanan. 

Bagaimanapun, sedar dengan tanggungan yang semakin bertambah sejurus mendirikan rumah tangga, dia akhirnya nekad menceburi bidang yang agak janggal dan tidak pernah dilakukan sebelum ini. 

Malah, dia juga pada mulanya turut malu apabila perlu menjual barangan yang menjadi  keperluan kaum wanita.

“Apabila sudah berkahwin dan mempunyai anak, taraf hidup semakin meningkat. Jadi saya cari jalan untuk perbaiki hidup. Kemudian, saya bersama isteri, Nur Jauhatul Dinnie Mohammad Johari terfikir untuk cuba berjinak-jinak mengasaskan sebuah syarikat kesihatan dan kecantikan secara kecil-kecilan pada 2017 dengan menggunakan simpanan peribadi.

“Saya terpaksa tebal muka ketika mula-mula cuba berniaga barangan yang sinonim dengan wanita ini. Namun, saya ketepikan perasaan itu apabila isteri sering berikan kata-kata semangat,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Walau bagaimanapun menurut Syukry, disebabkan tiada ilmu yang mencukupi, dia akhirnya mengalami kerugian akibat ditipu.

“Selain itu, kami juga tidak pandai mempromosi serta tidak tahu apa-apa teknik untuk menjenamakan produk.

“Sebab itu kami gagal. Akan tetapi, pengalaman hidup saya yang kehilangan ayah ketika berumur 12 tahun dan perlu besarkan adik beradik dengan mencari pendapatan tambahan menjadikan diri saya kuat untuk terus bangkit,” jelasnya.

Selepas melalui fasa demi fasa pembangunan perniagaan syarikat, Syukry kini memiliki sehingga 11 produk terdiri daripada penjagaan kesihatan, produk kecantikan dan makanan khususnya Sambal Bilis Ketagih.

Kini, syarikatnya telah berjaya menerima tiga pengiktirafan iaitu 100 Top Young CEO 2021, Made For The World Excellence Awards 2021 dan yang terbaharu Asean Food & Travel Awards 2022.

Bagi segmen kesihatan, syarikatnya menyediakan beberapa produk untuk golongan dewasa dan kanak-kanak seperti Superkids serta Glowskin.

Selain itu, syarikat miliknya juga turut mengeluarkan produk Vitamin C yang dihasilkan dalam bentuk tablet.

Dalam pada itu, Syukry berkata, kejayaan yang dikecapi sehingga  mencapai ke tahap sekarang bukan mudah tanpa sokongan dan komitmen tinggi daripada kakitangannya yang setia di samping 5,000 rangkaian pengedarnya di seluruh negara.

Dia juga dalam masa yang sama menyatakan hasrat untuk menambah jumlah pengedar sehingga 10,000 orang pada masa depan sebagai usaha membantu mencari peluang perniagaan berpotensi tinggi.

“Kami akan beri bim­bingan dan latihan selain menuntut  komitmen mereka untuk mencipta kejayaan pada masa akan datang.

“Apa yang penting adalah usaha keras dan mengenal erti putus asa,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya