Astro lancar perkhidmatan jalur lebar gentian sendiri - Utusan Malaysia

Astro lancar perkhidmatan jalur lebar gentian sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Astro melancarkan perkhidmatan jalur lebar gentian tersendiri, Astro Fibre yang bakal menjadikannya sebuah Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) penuh.

Transformasi itu menyusuli pelancaran Wifi Kencang, perkhidmatan jalur lebar gentian sulung Astro Fibre yang disediakan bersama kandungan Astro dan Mesh Wifi, membawakan sambungan internet dan hiburan di rumah serba lengkap untuk pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif TV dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Astro, Euan Smith berkata, angka pelanggan jalur lebarnya meningkat 58 peratus secara tahunan sambil lebih ramai pelanggan menyedari nilai dan kemudahan jalur lebar digabungkan bersama kandungan Astro.

“Dengan perkhidmatan Astro Fibre secara tersendiri, portfolio produk kini lebih mantap untuk berkhidmat kepada pelanggan dengan pelbagai keperluan berbeza, sama ada digabungkan dengan kandungan Astro atau untuk perkhidmatan internet semata-mata.

“Dengan infrastruktur, teknologi dan kepakaran yang kukuh, kami berada pada kedudukan lebih baik untuk menyokong pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) Malaysia untuk menyediakan liputan lebih luas dan pengalaman jalur lebar lebih baik bagi rakyat Malaysia, sekali gus memainkan peranan proaktif untuk merapatkan jurang digital negara.

“Keutamaan kami ialah untuk menyediakan pengalaman jalur lebar lebih menarik menerusi kemudahan internet yang boleh dipercayai dan mampu milik di seluruh rumah, supaya semua penghuni boleh menikmati internet yang pantas dan stabil,” katanya dalam kenyataan.

Pelan Astro Fibre menawarkan jalur lebar kelajuan tinggi paling termampu di pasaran, dengan empat peringkat kelajuan. Pelan 50 Mbps ditawarkan pada harga RM99 sebulan manakala kelajuan 100 Mbps disediakan pada RM129 sebulan dengan 1 unit Mesh WiFi selama 24 bulan untuk kelajuan 100 MBps dan ke atas, manakala sambungan 500 Mbps dan 800 Mbps masing-masing ditawarkan pada harga RM189 dan RM249 sebulan.

Pelanggan yang mahu kelajuan dua kali ganda lebih pantas atau akses kepada lebih daripada 85 saluran dan Mesh Wifi percuma boleh menambah RM1 sehari sebulan untuk menaik taraf pelan mereka kepada Astro Fibre 100 Mbps pada RM129 atau Pek Jimat Kencang RM129.99 yang termasuk 50Mbps + Pek Primary.

Untuk merapatkan lagi jurang sambungan internet, semua pelan Astro Fibre akan menggunakan penghala (router) dengan keupayaan Wifi 6 untuk menjamin prestasi gerbang kediaman (RGW) yang mantap dan juga pengalaman pengguna lebih baik untuk memenuhi keperluan rangkaian pelanggan yang semakin hari semakin bertambah.

Di samping itu, pelanggan tidak perlu bimbang tentang masalah umum seperti liputan lemah dan terhad, titik buta internet dan kelajuan tidak konsisten kerana pakar pemasangan Astro akan menjalankan penilaian berasaskan titik hangat Wifi bagi setiap rumah semasa pemasangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN