YAN: Lebih 80 nelayan pantai di pangkalan Singkir Laut di sini mendakwa pendapatan mereka terjejas apabila kegiatan pukat sorong dan bubu naga didakwa semakin berleluasa di sekitar perairan ini sejak setahun lalu.
Nelayan yang menggunakan pukat sorong dan bubu naga yang telah lama diharamkan itu dipercayai membabitkan penduduk tempatan.
Mereka didakwa aktif menjalankan operasi menangkap hasil laut itu pada awal malam hingga ke pagi.
Nelayan, Mohd. Azli Osman, 52, berkata, kegiatan pukat sorong itu juga didapati merosakkan ekosistem dan sumber perikanan di perairan tersebut.
“Boleh dikatakan sebahagian besar nelayan pantai mengalami kerugian kerana pukat mereka rosak atau hilang akibat penggunaan pukat haram itu dan keadaan tersebut menyebabkan nelayan pantai mengalami kekurangan hasil tangkapan.
“Walaupun aduan mengenai kegiatan tersebut dibuat sering dilaporkan kepada pihak berkuasa namun kegiatan haram itu masih berleluasa,” katanya ketika ditemui di Singkir Laut di sini hari ini.
Nelayan, Sadam Rusli, 30, berkata, dia sebelum ini memperoleh pendapatan kira-kira RM150 setiap kali melakukan kerja-kerja memukat ketam, udang dan ikan senangin.
“Bagaimanapun sejak aktiviti pukat sorong dan naga bubu dikesan di perairan ini, kami ada kalanya pulang dengan tangan kosong.
“Jika keadaan tersebut berlarutan tentunya sukar untuk kami meneruskan kerjaya ini kerana pendapatan yang diperoleh sedikit dan tidak mampu menyara keluarga,” katanya.
Nelayan, Mohd. Farid Rusli, 41, pulan berkata, dia mengharapkan pihak berkuasa meningkatkan operasi memburu nelayan yang menggunakan pukat tersebut.
“Nelayan-nelayan itu didakwa kebal dari segi undang-undang apabila aktif menjalankan aktiviti menangkap hasil laut menggunakan pukat haram itu,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE