GEORGETOWN: Persatuan Sejarah dan Peradaban Melayu Pulau Pinang meminta Kerajaan Persekutuan mewartakan kawasan Kampung Dodol di Jalan Perak di sini sebagai kampung warisan sekali gus membangunkannya semula dengan mengekalkan identiti perkampungan Melayu tradisional.
Presidennya, Abdul Kader Md. Ali berkata, pengiktirafan sebagai salah sebuah perkampungan yang tertua di Pulau Pinang seharusnya diberikan memandangkan masih terdapat ramai pewaris yang menetap di kampung berusia 144 tahun itu sehingga ke hari ini.
Menurutnya yang juga penduduk asal Kampung Dodol sejak 61 tahun lalu, terdapat banyak pengkisahan sejarah di perkampungan berkenaan yang dianggarkan meliputi seluas 35 ekar.
“Salah satunya adalah terdapat lima Tanah Perkuburan Islam yang menempatkan pusara pemilik-pemilik asal tanah seperti Hashim Yahaya dan Wan Chik Ariffin serta tiga individu lain yang disemadikan di situ.
“Mengikut rekod, Kampung Dodol adalah antara lebih 20 buah perkampungan yang masih wujud di Pulau Pinang (bahagian pulau) daripada jumlah asalnya sebanyak 152 buah kampung. Oleh itu, kami minta kerajaan Persekutuan mengstrukturkan semula kampung ini dengan mengekalkan identiti perkampungan Melayu tradisional,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut beliau, dengan nilai sejarahnya yang tersendiri, Kampung Dodol berpotensi diwujudkan sebagai sebuah perkampungan tersusun yang dikenali ramai termasuk pelancong asing.
Abdul Kader memberitahu, perkampungan warisan seharusnya dikekalkan di negeri ini daripada kemusnahan dek pembangunan moden yang jelas memberi kesan kepada ekonomi dan sosial penduduk asal umumnya.
Untuk rekod, terdapat sembilan pemilik asal tanah di kawasan Kampung Dodol dan sebahagiannya telah diwakafkan seperti Tanah Wakaf Wan Chik Ariffin, Tanah Wakaf Hashim Yahaya dan Tanah Wakaf Kapitan Keling.
Dianggarkan lebih 1,300 buah rumah yang dihuni kira-kira 7,800 penduduk ketika ini dengan bentuk kediaman jenis kayu, berbumbung atap dan terdapat seni ukiran pada dinding, tiang serta pintu. – UTUSAN