ROMPIN: “Saya sudah beli beberapa jenis racun untuk meracun padi angin selepas kecewaa sangat apabila usaha keras dan modal yang dikeluarkan tidak berbaloi kerana padi angin yang tumbuh,” kata petani wanita, Halijah Dahlan, 61, ketika ditemui Utusan Malaysia di Sawah Paya Sepayang di sini.
Ibu tunggal itu memberitahu, bagaimanapun dia membatalkan hasratnya selepas dihalang kerana tindakannya itu akan merosakkan padi pesawah lain.
Halijah berkata, dia merasakan kerja kerasnya setiap hari ke sawah selain modal yang dilaburkan adalah sia-sia selepas kesemua kawasan sawah berkenaan tumbuh dengan padi angin.
“Tak tahu apa lagi nak cakap dengan keadaan padi begini, semuanya padi angin. Saya sudah habis beribu modal termasuk racun dan membaja. Saya risau padi angin ini akan menjadi bertambah teruk.
“Modal saya untuk musim depan sudah habis, mungkin terpaksa bergadai selepas ini. Itu pun tidak pasti cukup atau tidak,” katanya.
Halijah berkata, dia mengusahakan seluas 7.2 hektar sawah dengan anggaran kos yang dilaburkan sebanyak RM24,000 dengan purata RM4,000 bagi 1.2 hektar tanah.
Katanya, setakat ini hanya satu kawasan penanaman tanah seluas 1.2 hektar telah dituai dengan hanya mendapat hasil kira-kira satu metrik tan menyebabkan dia mengalami kerugian besar.
“Semua sawah saya ada padi angin dan kali ini jumlahnya amat luar biasa, padi angin ini menghalang padi biasa tumbuh dan pada penanaman musim akan datang saya tidak tahu macam mana kerana buah padi angin telah jatuh dan akan tumbuh kembali,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Sawah Paya Sepayang, Azman Mohamad berkata, serangan padi angin kali ini amat teruk melibatkan kira-kira 80 peratus kawasan sawah Paya Sepayang yang mempunyai keluasan sebanyak 280 hektar.
Katanya, masalah padi angin menyebabkan pesawah padi di situ terbeban apabila mengalami kerugian selepas hasil menurun kira-kira separuh berbanding pada musim penanaman padi lalu.
Beliau memberitahu, penggunaan padi kebal varieti MR220 CL1 dan CL2 yang bertujuan menghapuskan padi angin juga adalah sia-sia kerana masih banyak padi angin tumbuh sehingga pesawah buntu mengatasi masalah itu.
“Kalau musim dulu purata hasil padi bagi 1.2 hektar adalah kira-kira tujuh metrik tan tetapi pada musim ini purata hasil hanyalah tiga tan sahaja. Jadi kami harap pihak berkaitan dapat membantu mengatasi masalah yang membebankan pesawah ini,” ujarnya. – UTUSAN