BUKAN semua mahukan sebuah kereta sport.
Ada yang lebih berminat dengan bentuk kenderaan utiliti sukan (SUV) atau crossover tetapi tetap mahukan prestasi sebuah jentera sport. Untuk mereka, Mercedes-Benz menawarkan crossover GLA ini dan bila diletakkan nama Mercedes-AMG dengan dua angka, peminat kereta tahu ini ialah model AMG sebenar, bukan model GLA dipasang dengan aksesori AMG.
Dibina berdasarkan GLA biasa, ia ditambah dengan segala perubahan teknikal untuk menjadikan ia sebuah jentera prestasi.
Bermula dengan enjin petrol M139 2.0 liter turbo yang ditala untuk menghasilkan 415 hp dan 500 Nm, disalurkan ke empat-empat roda melalui transmisi 4Matic+ AWD dengan AMG Speedshift DCT 8G dwi-klac automatik, crossover ganas ini mampu memecut dari sifar ke 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 4.3 saat dan had laju maksimumnya ialah 270 km/j.
Varian “facelift” ini lebih kepada rupa paras di mana bahagian hadapan menerima bamper dengan tambahan apron baharu, lengkung tayar mengikut warna badan kereta, logo AMG tertera di atas bonet dan lampu-lampu Multibeam LED baharu.
Aksesori tambahan lain termasuk pakej AMG Aerodynamics dengan bodykit lengkap serta AMG Night Package – bahagian berkrom yang digelapkan agar nampak garang.
Selain daripada hamburan tenaga yang tidak henti-henti masuk mencurah, kawalan dan imbangan dari sistem gantungan cukup untuk membuatkan anda mengurut dada tanda lega. Cengkaman dari tayar yang membalut roda aloi 21-inci itu memang diperlukan untuk membolehkan ia mengambil selekoh seperti seekor lipas kudung dikejar anak kucing.
Pecutan demi pecutan, terutama bila ia keluar dari selekoh, sungguh mengasyikkan. Rugi jika pemilik tidak membawa AMG GLA 45 ini turun ke litar kerana di sana, prestasi sebenarnya boleh dirasai dengan selamat.
Walaupun daya pecutan sebuah kereta elektrik (EV) ternyata lebih pantas, tetapi AMG ini jauh lebih ringan, memudahkan kita untuk mengambil selekoh dengan pantas. Penggunaan bahan api akan menjadi tinggi (penulis jarang mendapat bacaan di bawah 10L/100km) tetapi kerana stesen minyak wujud di mana-mana, tidak menjadi isu besar untuk memandu AMG GLA ini ke destinasi yang kita mahu.
Ruang dalam kekal canggih seperti yang kita jangkakan, dengan sedikit sentuhan AMG bagi mengingatkan penumpang bahawa ini ialah GLA yang berharga di atas paras setengah juta ringgit. Bunyi ekzos boleh dikawal dengan satu punat, berguna bila kita mahu melayan deruan enjin dan letupan kecil dari corong-corong di bawah bamper belakang itu.
Khusus untuk mereka yang masih mahu menghayati kejuruteraan enjin pembakaran dalaman, Mercedes-AMG GLA45S 4Matic+ ini akan kekal sebagai sebuah jentera crossover sport tradisional.
Syabas kepada yang memilikinya kerana ia memang kereta sporty yang memukau! – UTUSAN