AUDI seringkali terlihat dalam filem-filem yang menampilkan pengguna atau pemandunya seorang ‘hero’ yang bergaya, berkebolehan, malah keberadaan hero tersebut sudah cukup mengujakan penonton. AUDI A5 SPORTBACK S LINE ini seolah-olah melengkapkan penampilan hero tersebut. Apakah karisma ini juga ‘terbawa’ dalam alam sebenar automotif tempatan?
REKA BENTUK FIZIKAL
Nama “Sportback” selalunya melambangkan sebuah kereta ‘sedan’ yang ingin menampilkan ciri-ciri sport, tetapi tidak pula ingin membawa fizikal ‘hatchback’. Sejak akhir-akhir ini juga, penampilan kereta-kereta berkonsepkan “fastback” atau “sportback” ini dengan 4/5 pintu berbanding jenis 2/3 pintu yang mana jenis ini juga dikenali sebagai “coupe”.
Secara kasarnya, Sportback adalah sebuah kereta sedan sport, yang ingin mengadunkan imej eksekutif atau mewah dalam unsur-unsur penampilannya. Audi A5 ternyata gah dengan rekaan adunan dua dunia ini, apa lagi dengan teknologi pemanduannya yang sudah tentu setaraf dengan kereta-kereta continental yang seringkali menjadi pilihan utama para pembelinya.
Bahagian bumbung Audi A5 seolah-olah direka dengan satu ‘garisan’ cembung yang dirangkakan dalam satu ‘garisan’ yang tidak putus. Ini bermakna bahagian belakangnya tidak ‘terpisah’ atau membentuk bahagian ‘punggung’ yang asing. Sudah tentu rekaan ini memberikan aruhan aerodinamik yang membolehkan kenderaan ini meluncur laju ‘memotong’ angin.
Selalunya, rekaan sebegini akan membuatkan penumpang belakang terpaksa menerima hakikat bahawa kepala mereka lebih ‘dekat’ dengan bumbung kereta. Namun A5, walau masih dapat dilihat lebih rendah daripada kereta sedan mewah yang lain, ia tidak membuatkan anda tertunduk atau perasaan akan terhantuk bila-bila masa.
Dalam keadaan rekaan minimalis Audi A5 ini, masih dapat dilihat logo “ S-LINE” pada kiri dan kanannya serta, logo QUATTRO dan A5 sebagai pengenalan diri kereta ini. Bagi yang masih belum tahu maksud Quattro, ia bermaksud pacuan semua roda, yang secara konsepnya lebih kurang sama dengan pacuan 4 roda, tetapi lebih efisien.
Apakah pula kelebihan versi “S-Line” ini? Antara kelebihan versi atau pakej ini adalah pengendalian yang lebih jitu dan senang disebabkan oleh penggunaan suspensi yang lebih rendah, penambahbaikan lampu-lampu, roda yang lebih besar, tempat duduk yang baluti kulit mewah, lengkap dengan cetakan timbul huruf “S”, serta hiasan kabin dalaman lengkap dengan jaluran bahagian berwarna perak untuk berpenampilan mewah.
Seperti BMW M series, atau TOYOTA GR SPORT series, AUDI A5 S – LINE juga di sertakan logo “S” yang bukan hanya pada tempat duduk, juga pada permukaan bawah stereng pemandu. Penggunaan meter TFTnya yang begitu luas dan panjang, membolehkan pemandunya tidak perlu untuk menjeling pada paparan skrin “infotainment”, kerana meter TFT tersebut boleh diubah penampilan mengikut menu yang dipilih. Pemandu boleh memilih untuk memaparkan 3 paparan skrin yang berinformasi, atau memilih untuk memaparkan peta jalanan pada keseluruhan skrin meter tersebut, tanpa kehilangan informasi utama seperti kelajuan, lampu isyarat, tahap bahanapi dalam tangki, mode pemanduan malah, channel siaran radio yang sedang didengar.
Bagi para penumpang (dan juga pemandunya) sistem infotainment yang boleh diakses sama ada dengan Apple carplay atau Android Auto, yang membolehkan alat peranti anda dihubungkan dengan sistem ini. Untuk kemudahan pemandu dan juga penumpang hadapan, tempat duduk sport boleh dilaras secara elektronik tahap ketinggian, kedudukan dan kecerunan penyandaran.
PEMANDUAN
Penggunaan enjin 16 injap DOHC, suntikan bahan api terus dan turbo lengkap dengan pemasaan injap boleh laras (variable valve timing), kuasa kuda 249 pada kadar rpm 5,000 dan kuasa tork sebanyak 370Nm pada kadar rpm 1,600, membolehkan anda memecut kenderaan ini dari 0-100kmj hanya dalam masa 5.6 saat.
S-Line yang didatangkan dengan suspensi sport, membolehkan kereta ini mencengkam dalam kelajuan agresif dalam selekoh-selekoh tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini. Pencapaian kelajuan yang lebih daripada 200kmj adalah sesuatu yang tidak pernah dikecewakan.
Lebih menakjubkan, dengan suspensi yang rendah dan sporty, tidak sekali pun, pemanduan di atas jalan raya yang tidak rata, sama ada permukaan jalan raya yang mempunyai tar lama, atau yang banyak diselaputi oleh garisan-garisan merah dan kuning yang agak keterlaluan timbulnya, tidak dirasakan terlalu bergegar atau bising.
Untuk kereta mewah seperti ini, harga pasarannya yang mencecah hampir RM450,000 tanpa cukai jalan dan kos pendaftaran, bantuan pemanduan elektronik, sudah tentu didatangkan dengan spesifikasi yang optimum.
Audi A5 S-Line mempunyai 6 beg udara (2x hadapan, 2x belakang, 2x sisi), sistem pemanduan dalam lorong, sistem amaran keluar lorong, bantuan parkir lengkap dengan kamera, bantuan pertukaran lorong pemanduan, halangan/lintasan objek di belakang, serta bantuan trafik dan banyak lagi.
KESIMPULAN
Tidak perlu saya huraikan lagi tentang ciri-ciri kosmetik lain sama ada bahagian luaran mahupun dalaman Audi A5 Sportback S Line. Selain harga jualannya yang lebih mahal daripada rumah kos sederhana dua tingkat, ia menjanjikan pemiliknya berada dalam dua keadaan utama iaitu kepuasan pemanduan yang tepat dan jitu dan sentiasa berada dalam keadaan mewah dan berprofail tinggi.
Pilihan terletak pada anda untuk memandunya dengan agresif tetapi masih menampakkan status elit atau pemanduan yang bersahaja di samping menikmati sistem pemanduan yang selesa tetapi masih ranggi. – UTUSAN