403 hotel tawar 30,000 bilik untuk kuarantin pekerja asing - Utusan Malaysia

403 hotel tawar 30,000 bilik untuk kuarantin pekerja asing

ABD. Latiff Ahmad (tiga kiri) beramah mesra dengan Thirunavukarasu Rajoo (tiga kanan) selepas majlis tandatangan perjanjian kerjasama bagi pengurusan kuarantin pekerja asing di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Cahaya Pengurusan Cekap Sdn. Bhd. kini mampu menerima lebih 300,000 pekerja asing yang bakal memasuki negara ini sebelum diserapkan ke dalam pelbagai sektor.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusinya, Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin berkata, pihaknya sudah bersedia sepenuhnya dengan keupayaan 403 buah hotel yang diuruskan di seluruh Lembah Klang.

“Kesemua rangkaian hotel tersebut berstatus tiga dan empat bintang dengan menawarkan lebih 30,000 bilik untuk kuarantin bakal pekerja asing ini,” jelasnya di sini semalam.

Terdahulu, beliau menerima memorandum perjanjian Komitmen Rakan Kongsi Kerjasama Bagi Pengurusan Kemasukan dan Kuarantin Pekerja Asing melibatkan eMedAsia, anak syarikat Hong Seng Consolidated Berhad yang berperanan dalam isu saringan selain penyeliaan data bersepadu wabak Covid-19 nasional.

Subsidiari ini merupakan projek usaha sama komersial dengan sayap pelaburan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dikenali Koop MMA yang melibatkan hampir 3,000 klinik swasta.

Ia disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas Khas), Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Dr. Aminuddin Hassim.

Mengulas lanjut, Shahrul Nasrun berkata, pihaknya akan bekerjasama memastikan bilik disewa memenuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990.

“Langkah ini juga memudahkan urusan majikan kerana mereka tidak perlu pening cari asrama sementara bagi pekerja yang dikuarantin selepas disaring panel klinik Koop MMA,” jelasnya.

Beliau berkata, majikan terbabit tidak perlu bimbang aspek kawalan keselamatan kerana setiap hotel diuruskan syarikat itu memiliki prosedur operasi standard yang amat ketat.

Ditanya dari segi kos, beliau memberi jaminan buat masa ini syarikat tersebut menganggarkan bil antara RM150 sehingga RM200 sehari termasuk penyediaan set makanan dan minuman.

Jumlah itu tambahnya, bagaimanapun akan dimuktamadkan dalam masa terdekat agar tidak terlalu membebankan pihak majikan terutama dalam kalangan syarikat kecil atau sederhana.

Inisiatif korporat berkenaan kata Shahrul Nasrun, merupakan julung kali dalam sejarah bagi membantu juga meringankan beban kerajaan yang kekurangan pusat kuarantin berskala besar.

Sebelum ini, Nadma terpaksa menyewa hotel tertentu dengan caj bil ditanggung kerajaan selain penggunaan puluhan buah institusi latihan awam sebagai premis kuarantin sementara.

“Saya juga mempelawa operator hotel lain yang berminat untuk menyertai program ini boleh terus menghubungi pegawai bertugas syarikat ini menerusi talian 012-2388651,” terangnya.

Beliau dalam nada optimis menilai prospek masa depan syarikat itu tidak akan terjejas apabila berperanan sebagai pusat kuarantin pekerja asing malah memberi imej baik kepada negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya