PETALING JAYA: Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), mengumumkan jumlah agihan pendapatan 5 sen seunit untuk dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.
Ia merangkumi pengagihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit dan bonus sebanyak 0.75 sen seunit.
Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria berkata, jumlah pengagihan tersebut membabitkan RM8.9 bilion yang bakal memanfaatkan 10.4 juta pemegang unit ASB.
Ujarnya, ini sekali gus menjadikan jumlah pengagihan pendapatan terkumpul dan bonus ASB yang telah diagihkan sejak ia mula diperkenalkan pada 1990 kesemuanya sebanyak RM168.5 bilion.
“ASB mencatatkan prestasi positif di sebalik keadaan pasaran kewangan yang tidak menentu, serta kemunculan varian baharu Covid-19 dan peningkatan kes baharu sepanjang tahun yang memperlahankan pemulihan ekonomi global.
“Kami bersyukur usaha berterusan dalam strategi kepelbagaian dan pengukuhan portfolio kami telah membuahkan hasil positif. Prestasi pelaburan ekuiti global yang lebih kukuh telah berjaya mengurangkan kesan pasaran domestik yang mencabar.
“Pengagihan pendapatan ASB pada tahun ini kekal kompetitif hasil usaha dan dedikasi pasukan pelaburan kami. Kadar pengagihan pendapatan sebanyak lima sen seunit ini adalah 315 mata asas lebih tinggi berbanding Deposit Tetap 12-bulan yang kadar semasanya ialah 1.85 peratus,” katanya dalam sidang akhbar secara maya, semalam.
Peruntukan pelaburan antarabangsa ASB meningkat daripada 5.9 peratus pada 2020 kepada 8.2 peratus tahun ini, manakala ekuiti awam antarabangsa menyumbang sebanyak 30.7 peratus kepada pendapatan kasar pada 2021 berbanding 24.2 peratus tahun lepas.
Jumlah akaun ASB bertambah sebanyak hampir 200,000 kepada 10.4 juta, manakala unit dalam edaran meningkat sebanyak 7.4 bilion atau 4.3 peratus kepada 181.2 bilion unit.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, walaupun dalam persekitaran yang mencabar, PNB berbesar hati mendapati bilangan rakyat Malaysia yang melabur dengan ASB serta jumlah pelaburan mereka terus meningkat.
“Kami amat menghargai kepercayaan berterusan yang diberikan oleh pemegang unit kami dan akan berusaha memenuhi mandat PNB untuk terus menjana pulangan yang mampan,” ujarnya.
PNB telah menunjukkan daya tahannya dalam mengharungi ketidaktentuan tahun ini dengan mencatatkan prestasi kewangan yang membanggakan.
Untuk 11 bulan pertama tahun kewangan, jumlah Aset di Bawah Pengurusan (AUM) PNB telah meningkat sebanyak 4.9 peratus kepada RM338.4 bilion, mencerminkan kepercayaan berterusan oleh pemegang unitnya. -UTUSAN