Tanah, kompleks di Sudan diperoleh secara sah - Petronas - Utusan Malaysia

Tanah, kompleks di Sudan diperoleh secara sah – Petronas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menegaskan tanah dan kompleksnya di wilayah Khartoum, Sudan adalah miliknya yang diperoleh secara sah di sisi undang-undang.

Ia sekali gus menafikan dakwaan kerajaan peralihan Sudan yang bertindak merampas  dan mengaitkan tanah tersebut dengan pemerolehan yang melanggar undang-undang dan terlibat dengan kegiatan rasuah.

Syarikat minyak negara itu berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan Kementerian Luar  bagi menggunakan semua saluran diplomatik dengan pihak berkuasa di Sudan bagi menyelesaikan isu tersebut dengan aman.

Jelasnya, sehingga kini masih belum ada perkembangan positif dapat dicapai berkenaan perkara tersebut.

“(Oleh itu), Petronas telah memfailkan permohonan untuk timbang tara di Pusat Antarabangsa untuk Penyelesaian Pertikaian (ICSID) tentang isu tersebut.

“Disebabkan proses undang-undang masih berlangsung, Petronas tidak dapat memberikan maklumat lanjut berkenaannya,” katanya dalam kenyataan semalam.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Petronas membantah keras rampasan asetnya oleh kerajaan peralihan Sudan yang didakwanya sebagai tidak mengikut lunas undang-undang.

Kerajaan separa junta pimpinan Perdana Menteri, Abdalla Hamdok bertindak merampas tanah yang sepatutnya digunakan untuk membina ibu pejabat dan beberapa kemudahan milik Petronas yang didaftarkan di bawah nama anak syarikatnya, Nada Properties Company Limited (NPCL).

Malah, kerajaan peralihan Sudan turut memindahkan hak milik NPCL kepada Kementerian Kewangannya.

Petronas terlibat dalam perniagaan minyak di Sudan selama lebih 20 tahun, termasuk melalui penglibatannya dengan Greater Nile Petroleum Operating Company (GNPOC) bermula Disember 1996.

Selain operasi perniagaan, syarikat itu turut aktif dalam usaha membangunkan modal insan tempatan di Sudan melalui program latihan, pemindahan teknologi dan pemberian biasiswa pendidikan tinggi kepada warga tempatan Sudan ke Universiti Teknologi Petronas (UTP). -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya