MR DIY beri sumbangan kepada komuniti pekak dan bisu - Utusan Malaysia

MR DIY beri sumbangan kepada komuniti pekak dan bisu

WAKIL MR DIY menyerahkan cek bernilai RM2,780 kepada pegawai bertanggungjawab Pusat Pendidikan Awal, Adeline Goh (kanan) sempena kempen You Share We Donate. - IHSAN MR DIY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peruncit perkakas rumah, MR DIY mempamerkan keprihatinannya terhadap komuniti pekak dan bisu dengan memberi sumbangan sebanyak RM2,780 kepada Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) di bawah kempennya, You Share We Donate.

Sumbangan itu adalah hasil daripada jumlah perkongsian filem webnya yang bertajuk Kerana Azman yang telah meraih sebanyak 2,780 perkongsian di media sosial.

Jumlah perkongsian itu  ditukarkan sebagai sumbangan untuk disalurkan kepada MFD dalam bentuk baucar tunai MR DIY yang telah diserahkan pada Khamis lalu.  

Naib Presiden Pemasaran kumpulan itu, Andy Chin berkata, itu merupakan tahun ketiga MR DIY menggabungkan unsur tanggungjawab sosial korporat (CSR) ke dalam filem web, dengan tujuan menggalakkan rakyat Malaysia memperingati komuniti yang kurang bernasib baik semasa musim perayaan ini.

“Ia sudah menjadi tradisi kami untuk menghasilkan kisah yang bermakna seperti Kerana Azman yang berkait dengan komuniti yang kurang bernasib baik supaya mereka tidak dilupakan dan diabaikan.

“Komuniti kelainan upaya memainkan peranan yang penting dalam operasi perniagaan MR DIY. Kami menghargai dedikasi mereka dan sentiasa berusaha menawarkan peluang yang sama rata kepada mereka,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, dengan sumbangan itu, Andy berharap dapat menyokong inisiatif perusahaan sosial MFD, dengan membantu mereka mendapatkan bekalan yang diperlukan dari MR DIY di samping menjana pendapatan buat organisasi tersebut.

Iklan berdurasi empat minit tersebut telah dimuat naik ke laman rasmi Facebook MR DIY. sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Filem itu diinspirasikan daripada kisah seorang kanak-kanak lelaki bernama Azman yang pekak dan bisu yang mengumpul dan menjual barangan yang boleh dikitar semula untuk membeli makanan untuk disumbangkan kepada golongan yang memerlukan.

Pengasas Yayasan Azman bernama Yusuff, yang mengenali Azman sejak kecil, telah mengasaskan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)  tersebut untuk memperingati sikap Azman yang baik hati dan tidak mementingkan diri. 

Sebelum ini, MR DIY telah menghasilkan dua lagi iklan semasa perayaan Tahun Baru Cina dan Krismas pada tahun lalu di bawah kempen yang sama. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN