Mara intai peluang ceburi bidang pelaburan strategik - Utusan Malaysia

Mara intai peluang ceburi bidang pelaburan strategik

ABD. LATIFF AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Majlis Amanah Rakyat (Mara) menerusi sayap pelaburannya, Mara Corporation (Mara Corp.) akan menyusun semula fokus perniagaan syarikat itu dengan menceburi bidang-bidang pelaburan strategik yang tidak disertai syarikat bumiputera lain. 

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad berkata, antara bidang strategik berkenaan termasuklah bidang aeroangkasa.

Katanya, Mara merupakan satu entiti besar, berpengalaman dan mempunyai kakitangan terlatih dan sudah berkhidmat dalam sektor pendidikan, keusahawanan, pelaburan dan modal insan.

“Tetapi untuk sektor perniagaan, kita ada Mara Corp. dan sekarang, kita mahu menyusun semula fokus perniagaan agar dapat membina kekuatan ekonomi khususnya dalam perniagaan strategik.

“Ini perlu dibuat kerana kita tidak boleh masuk semua cabang perniagaan walaupun menguntungkan. Sebab itu Mara tidak ada syarikat dalam bidang pembinaan,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bas Baharu Mara Liner di Bandar Penawar di sini hari ini. 

Yang turut hadir Pengerusi Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Datuk Seri Che Zakaria Mohd. Salleh dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf. 

Dalam program berkenaan, Mara Liner Cawangan Bandar Penawar menerima lima buah bas baharu melibatkan peruntukan berjumlah RM2.7 juta.

Ia merangkumi tiga buah bas henti-henti membabitkan lima laluan dan dua bas ekspres melibatkan tiga laluan berbeza. 

Sementara itu, Abd. Latiff turut memaklumkan pihaknya bersedia untuk mengembangkan operasi pengangkutan awam Mara Liner ke kawasan luar bandar lain termasuk di Sabah dan Sarawak. 

Namun katanya, perkara itu bagaimanapun perlu mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri terbabit. 

“Setakat ini, Sabah dan Sarawak ada perkhidmatan awam sendiri dan secara prinsipnya, kita juga tidak boleh bersaing dengan pengusaha lain dalam sektor ini kerana kita syarikat besar.

“Jika kita bersaing, kalahlah mereka. Jadi berilah peluang kepada usahawan lain, melainkan operator tersebut merasakan tempat berkenaan tidak menguntungkan, barulah kami masuk,” ujarnya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya