NGO digalak tubuh koperasi jana ekonomi ahli, dana persatuan - Utusan Malaysia

NGO digalak tubuh koperasi jana ekonomi ahli, dana persatuan

ABDUL FATTAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) digalakkan menubuhkan koperasi bagi membolehkan entiti tersebut membuat aktiviti perniagaan dan menjana ekonomi ahli dan kewangan persatuan mereka.

Menurut Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad(Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah, sebanyak 204 NGO telah menubuhkan koperasi bagi mencapai objektif tersebut.

“Sebelum ini ada NGO yang menubuhkan koperasi untuk persatuan mereka. Contohnya Majlis Belia Malaysia (MBM) yang menubuhkan Koperasi Belia Nasional (Kobena).

“NGO sebagai sebuah pertubuhan berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak boleh berniaga. Sekiranya ingin berniaga kena wujudkan syarikat sendirian berhad atau koperasi,” katanya selepas menyerahkan sumbangan pada Program Coop Care Jelajah Santuni Asnaf dan Keluarga B40 Kuala Langat di Teluk Panglima Garang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Jawatankuasa Pejabat Pengerusi Perhubungan Angkasa Selangor, Ismail Md. Dom dan Pengerusi Kelab Kebajikan Nur Insaniah Selangor, Zamri Sadarom.

Abdul Fattah berkata, dua manfaat boleh diperolehi oleh NGO yang mempunyai koperasi iaitu boleh bergiat dalam aktiviti sosial dan ekonomi dengan lebih baik lagi.

“Oleh demikian, kita akan terus berkempen untuk menggalakkan NGO untuk menubuhkan koperasi dengan lebih giat,” ujarnya.

Sementara itu menurut Zamri, pihaknya bekerjasama dengan Angkasa untuk membantu golongan B40 yang begitu terkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan berlangsung.

“Walaupun dikenali sebagai NGO pendidikan tetapi kita tetap mengadakan kerja kebajikan masyarakat di sekitar Teluk Panglima Garang ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN