Aveta Ranger Max Explorer-`Scrambler' kapcai

PERMOTORAN: Aveta Ranger Max Explorer-`Scrambler’ kapcai

URBAN atau pun lasak, tiada masalah untuk dijelajahi. - UTUSAN/ANUAR NORICK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASARAN motosikal tempatan, walau menampakkan sedikit kesuraman setelah dua tahun mengalami lonjakan jualan ketika negara dilanda pendamik Covid-19, tidak pernah suram dengan kehadiran jenama atau model-model baharu.

AVETA MOTOR MALAYSIA merupakan satu lagi pembekal motosikal yang berpangkalan di Klang, membawa masuk motosikal-motosikal dari China dan dipasang di Malaysia. AVETA mula memperkenalkan beberapa model sebelum ini ke pasaran tempatan bermula 2021 dan berterusan memperkenalkan beberapa model lagi selepas itu. Sehubungan dengan itu, AVETA kini memperkenalkan sebuah model motosikal yang begitu unik dalam kelas ‘underbone’,  ‘moped’, atau dengan nama yang diketahui ramai iaitu “kapcai”.

Mari mengenali motosikal unik AVETA RANGER MAX EXPLORER ini.

REKA BENTUK FIZIKAL

Jika satu perkataan diperlukan untuk meletakkan model ini dalam jenisnya, mungkin melabelkannya sebagai “Scrambler Kapcai” akan membolehkan orang ramai faham dengan lebih mendalam. Dihasilkan dengan niat penggunaan utama atas laluan lasak, ‘adventure’, dan ‘off-road’. Rupa fizikalnya menepati tujuan tersebut, terutama apabila melihat roda-rodanya yang menggunakan tayar berbunga petak seperti sebuah motosikal scrambler.

Tiga rak meletak barangan tersedia yang melambangkan kebolehan motosikal ini untuk membawa bagasi, atau barangan perkhemahan. Suspensi yang kenyal namun, langsung tidak membuat penunggangnya mahupun pembonceng terasa sakit atau terganggu akibat melalui permukaan laluan yang tidak bertar atau tidak rata.

Bar handel yang tinggi, menyerupai sebuah motosikal lasak atau basikal BMX, juga mengilustrasikan fungsinya yang sebenar. Tidak ketinggalan saiz roda hadapan yang besar (18 inci) memberi idea kepada penunggang tentang kemudahan kebolehan mengendalikannya di laluan-laluan berpasir, berbatu atau tanpa tar.

Perkara menarik yang ingin saya sentuh, tentang rekaan dan posisi paip ekzosnya yang agak tinggi dan melintang ke belakang pada bahagian tengah badan motosikal. Rekaan dan posisi ekzos seperti ini diguna pakai pada motosikal-motosikal model lasak atau scrambler yang terdapat di pasaran seperti Scrambler Ducati atau Scrambler Triumph. Maka, ini sekali lagi mengesahkan kegunaan utamanya.

Antara rekaan yang menarik perhatian, paip ekzosnya yang terserlah.

PENUNGGANGAN

Ketika mengetahui kapasiti enjinnya hanya 127cc, saya menjangkakan keupayaan enjinnya sudah pasti tidak sehebat mana. Namun, percubaan saya menunggang dengan pembonceng menuju ke pusat bandar Kuala Lumpur, melalui pula lebuh raya bertingkat DASH, saya mendapati ia tidak seperti  dijangkakan.

Walau pencapaian kelajuan tertingginya hanya 100km/j, namun saya agak kagum akan pencapaian tersebut memandangkan berat kedua-dua penunggang dan pembonceng yang harus ditanggung, dan pencapaian kelajuan ini adalah pada keadaan lebuh raya yang mendatar (flat). Kelajuan adalah sangat ‘penting’ bagi setiap pemilik motosikal tempatan walaupun menyedari bahawa kapasiti enjin motosikal mereka adalah kecil. Maka pencapaian kelajuan ini, bagi saya, adalah sangat baik dan tidak tergolong dalam kategori motosikal yang lemah.

Menceritakan tentang penggunaan roda hadapan bersaiz 18 inci, walaupun saya memahami keberadaan penggunaan saiz tersebut serta fungsi utamanya yang menjanjikan pengendalian yang mudah dan ringan ketika melalui laluan berpasir atau berbatu-batuan, atau lebih mudah dikatakan ketika melakukan aktiviti off road. Namun, saya merasakan untuk saiz motosikal ‘kapcai’ ini, penggunaan roda saiz 18 ini tidak perlu.

Kapcai tidaklah seberat atau sesukar mana untuk dikendalikan akibat saiznya yang kecil. Pengendalian agak sedikit sukar sebenarnya dengan roda 18 inci ini terutama ketika ‘mencilok’ antara kenderaan yang bersesakan, atau melalui selekoh dengan sedikit kelajuan. Bar handel akan terasa terlalu ringan dan perasaan seperti roda hadapan tidak mencengkam ketika dalam situasi-situasi yang dimaksudkan. Penggunaan roda bersaiz 17 untuk depan dan belakang saya kira menjanjikan pengedalian yang lebih optimum untuk pelbagai permukaan jalan.

Jika ingin mengupas tentang faktor yang saya kurang senang tentang model ini ialah, penggunaan sistem gear tanpa klac tangan. Sistem sedia ada pada AVETA Ranger Max ini adalah seperti kapcai model 80an yang rata-ratanya tidak menggunakan sistem tuil klac tangan. Ketika percubaan untuk menukar gear ke gear yang rendah di atas jalan raya biasa, motosikal akan sedikit menyentap ketika transisi dari gear tinggi ke rendah. Keadaan ini sudah tentu lebih ‘mengganggu’ atau lebih sukar ketika penggunaannya atas laluan lasak, berbatu atau berpasir. Jika ada tuil klac tangan, saya jamin penukaran gear akan lebih efisien dan mudah.

Saya bagaimanapun, memuji pengendalian motosikal ini dan saya pasti ini adalah akibat daripada penggunaan kerangka berganda- T (Double T-bone casis) yang memegang teguh keseluruhan motosikal ini, atas apa jua permukaan.

BAR handel yang tinggi, seakan-akan seperti sebuah basikal BMX

KESIMPULAN

Kebolehan AVETA Ranger Max Explorer menarik perhatian pemilik motosikal lain atas jalan raya atas hanya rupa bentuknya adalah satu ‘bonus’ untuk AVETA. Apatah lagi apabila mengetahui motosikal ini dijual bawah RM8,000 atas jalan. Ramai yang sudah tentu akan membayangkan penggunaan motosikal ini untuk dipadankan dengan hobi yang semakin popular kini iaitu perkhemahan.

Bagi yang gemar beraktiviti luaran pasti menyukai spesifikasi AVETA RANGER MAX EXPLORER ini yang mempunyai tangki bahan api sebesar 8.5 liter. Penggunaan sistem penghidup jenis elektrik dan juga terdapat fungsi penghidup tendang, ternyata memberi keyakinan terhadap kemudahan menghidupkan jentera lasak ini.

Sekiranya ada yang mencurigai tentang penggunaan pasangan brek depan dan belakang yang berlainan konsep, brek hadapan menggunakan cakera sekaligus menjamin kecekapannya membrek. Brek belakang pula menggunakan sistem “drum” atau mangkuk bagi membolehkan bahagian belakang dapat kuasa berhenti dengan lebih lebih efisien, terutama dalam penggunaan brek ketika dalam permukaan jalan yang tidak bertar.

Kebolehan AVETA Ranger Max Explorer ini akan terus-terusan memberi kejutan dan kepuasan terhadap pengendaliannya, dan kebolehan anda untuk menikmati aktiviti permotoran yang boleh dipadankan dengan kegemaran pengembaraan atau aktiviti luar rumah sudah tentu menjanjikan pengalaman yang lebih berharga.

Maka tidaklah keterlaluan sekiranya AVETA mengatakan bahawa Ranger Max Explorer ini mampu menjadikan “PENGEMBARAAN ANDA BERSATU DENGAN GAYA HIDUP”. – UTUSAN

SPESIFIKASI

ENJIN  
JENIS ENJIN SEJUKAN UDARA, 4-LEJANG, SOHC, DILENGKAPI DENGAN SHAFT PENGIMBANG
SESARAN ENJIN 127cc
KUASA MAKSIMUM 7.5kW @ 8,000 RPM
TORK MAKSIMUM 10.5Nm @ 5,500 RPM
SISTEM PENALAAN KARBURETOR
TRANSMISI 4 KELAJUAN (KLAC AUTO)
KAPASITI TANGKI BAHAN API 8.5 Liter

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya