Genting HK cuba bertahan, jual aset - Utusan Malaysia

Genting HK cuba bertahan, jual aset

Disebabkan pandemik, syarikat terpaksa memberhentikan hampir semua operasi kapal persiarannya. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HONG KONG: Genting Hong Kong Ltd. (Genting HK) sedang menilai kemampuan kewangannya untuk terus bertahan selepas pandemik Covid-19 hampir memusnahkan perniagaan kapal persiarannya.

Syarikat itu mencatatkan kerugian bersih AS$1.7 bilion (RM7.04 bilion) dan aliran keluar tunai operasi bersih sebanyak AS$629 juta (RM2.60 bilion) pada tahun kewangan berakhir Disember lalu, menurut maklumannya kepada bursa saham Hong Kong kelmarin.

Katanya, liabiliti semasa syarikat itu melebihi aset sebanyak AS$3.3 bilion (RM13.66 bilion) dan pinjaman dengan prinsipal sebanyak AS3.4 bilion (RM14.07 bilion) dalam keadaan ingkar setakat penghujung 2020.

Disebabkan pandemik, syarikat itu terpaksa menghentikan sementara hampir semua operasi persiarannya.

Jelas syarikat itu, mereka turut terpaksa menghentikan atau menunda pembinaan kapal-kapal yang sudah dalam perancangan.

“Penyambungan operasi persiaran adalah bergantung kepada perkembangan pandemik Covid-19, termasuk keperluan sekatan pergerakan oleh negara-negara yang berbeza,” katanya seperti dipetik Bloomberg.

Genting HK berkata, mereka mungkin mempertimbangkan langkah tambahan untuk meningkatkan kedudukan  kewangannya termasuk mengumpulkan saham baharu, menambah kecairan melalui sumber hutang atau ekuiti, berunding dengan pemiutang untuk penstrukturan semula hutang, memohon pengecualian hutang atau penjualan aset-aset bukan teras.

Theedgemarkets.com melaporkan, penjualan aset bukan teras akan menjadi satu langkah oleh Genting HK untuk membendung impak pandemik terhadap perniagaannya.

Pengerusi Genting HK, Tan Sri Lim Kok Thay berkata, penjualan aset tersebut adalah sejajar dengan langkah yang diambil syarikat itu untuk memberi fokus kepada perniagaan berkaitan pelayaran, yang akan terus menjadi penyumbang utama keputusan operasinya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya