TAPAH: Kerajaan mempunyai peruntukan yang cukup untuk meneruskan bantuan kepada majikan mahupun syarikat sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19 terpaksa dilaksanakan semula.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, bantuan menerusi Program Subsidi Upah 2.0 yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebanyak RM2.4 bilion, dapat membantu operasi sesebuah syarikat dalam tempoh tiga bulan lagi.
Katanya, adalah menjadi tanggungjawab pihaknya untuk memastikan syarikat dapat beroperasi dan pekerja dikekalkan sekali gus mengawal kadar pengangguran.
“Kementerian Sumber Manusia telah minta bantuan kerajaan Pusat bagi Program Subsidi Upah di mana RM2.4 bilion telah disalurkan. Bantuan ini akan membantu kita (majikan) untuk tiga bulan lagi.
“Dengan adanya RM2.4 bilion ini, saya percaya kita masih sempat membantu syarikat-syarikat untuk beroperasi terutama dari segi membayar gaji pekerja.
“Yang penting kita ada kewangan yang kukuh untuk menghadapi PKP sekiranya berlaku sekali lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Inisiatif Penjana Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) Kursus Asas Jahitan Pengenalan dan Kursus Penggunaan Mesin Jahit Tepi di Dewan Merdeka di sini hari ini.
Menurut Saravanan, beliau yakin sekiranya rakyat terus mengekalkan disiplin diri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), penularan wabak Covid-19 dapat dielakkan.
“Saya percaya kalau rakyat boleh mendisiplinkan diri dan ikut arahan kerajaan, kita tidak sampai ke tahap itu walaupun keadaan kini cukup merisaukan,” katanya. – UTUSAN