LIPIS: Empat pelanggan sebuah kedai makan di Kampung Tempoyang di sini dikompaun kerana tidak membuat pendaftaran masuk dan saringan suhu di kedai itu malam semalam.
Peniaga kedai terbabit turut dikompaun kerana gagal memastikan pelanggannya mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.
Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, dalam pemantauan kira-kira pukul 12.25 tengah malam itu, empat pelanggan terbabit termasuk seorang pelajar dikompaun RM1,000 kerana tidak mengikut SOP ditetapkan.
“Empat pelanggan kedai makan berkenaan yang berusia 17 tahun hingga 23 tahun didapati tidak mendaftar semasa masuk ke dalam premis dan tidak menyukat suhu badan serta tidak menggunakan pencuci tangan.
“Pemilik kedai makan berusia 49 tahun juga dikompaun kerana gagal memastikan pelanggan mendaftar masuk ke dalam premis dan tidak menyukat suhu badan serta tidak menggunakan pencuci tangan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Azli, kesemua lima individu terbabit diarahkan mengikut SOP ditetapkan selepas pihak polis mengeluarkan kompaun.
Katanya, polis akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan bagi membendung penularan wabak Covid-19. – UTUSAN