MIDF tawar pembiayaan sehingga RM1 juta - Utusan Malaysia

MIDF tawar pembiayaan sehingga RM1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysian Industrial Development Finance Bhd. (MIDF) menerusi entiti perniagaannya, Divisyen Kewangan Pembangunan (DFD) telah melancarkan skim pembiayaan terbaharu iaitu Skim Pembiayaan Mudah Digital dan Teknologi sebagai langkah membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengharungi tempoh mencabar ketika ini. 

Skim Pembiayaan Mudah Digital dan Teknologi itu menawarkan pembiayaan sebanyak RM1 juta atau bantuan sehingga 90 peratus daripada jumlah keseluruhan kos barangan terpilih dengan tawaran turut merangkumi yuran undang-undang di samping kadar faedah serendah empat peratus. 

Menurut Ketua DFD MIDF, Azizi Mustafa, skim pembiayaan itu ditawarkan untuk semua sektor dan bertujuan memupuk penggunaan teknologi digital dalam kalangan PKS sekali gus meningkatkan daya saing, kecekapan dan kebolehpasaran. 

Katanya, skim tersebut juga bermatlamat meningkatkan kebolehpasaran barangan tempatan di peringkat nasional serta ke pasaran global selain menggalakkan PKS mengadaptasi digitalisasi dan e-dagang. 

“Usaha untuk menggalakkan usahawan menggunakan platform digital dan dalam talian merupakan kunci untuk kekal relevan. Perniagaan hari ini tidak hanya tertumpu kepada interaksi fizikal dan hanya menjadikan masyarakat tempatan sebagai kumpulan sasaran dalam perniagaan. Oleh itu, penerimaan dan penggunaan platform digital seperti e-dagang dilihat sangat signifikan. 

“PKS merupakan komponen penting dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi negara. MIDF percaya skim yang diperkenalkan dapat membantu PKS menyesuaikan diri beralih kepada digital sejajar dengan perkembangan teknologi. 

“Dengan itu, PKS akan lebih berdaya saing dalam mengembangkan perniagaan mereka sehingga menembusi pasaran antarabangsa dengan kos operasi lebih rendah,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

PKS yang berminat mendapatkan skim yang ditawarkan boleh menghubungi Unit Penasihat Perniagaan MIDF menerusi talian 1-300-88-6433 atau e-mel ke [email protected]

Mereka juga boleh hadir ke pejabat MIDF untuk mendapatkan khidmat nasihat bagi mengembangkan perniagaan masing-masing.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN