PENDUDUK di Shenzhen pasti merindukan pertunjukan cahaya dron menakjubkan yang menerangi langit malam bandar itu selama seminggu ketika sambutan Hari Kebangsaan di China baru-baru ini.
Armada besar 10,197 dron yang mencipta paparan ‘bunga api siber’ luar biasa itu turut membantu syarikat Damoda memecah dua rekod dunia.
Syarikat pengeluar teknologi canggih itu berjaya memperoleh gelaran Guinness World Records bagi jumlah tertinggi operasi dron bawaan udara serentak dari satu komputer dan imej udara terbesar yang dicipta oleh dron.
Acara yang bermula pada 26 September itu menyaksikan sekumpulan dron digerakkan untuk membentuk corak rumit hingga membuatkan seluruh bandar terpaku.
Paparan tersebut menggabungkan inovasi unsur-unsur warisan budaya Shenzhen yang diilhamkan oleh seni mempertahankan diri Wing Chun bagi mewakili sejarah bandar dinamik itu.
Kemuncak persembahan itu adalah adegan ‘Sky City’, di mana beribu-ribu dron bergerak dengan selaras untuk mencipta tontonan udara seakan bandar terapung yang cukup mempesonakan.
Video persembahan unik itu dengan pantas tular di media sosial, mendedahkan bagaimana dron boleh mencipta visual indah di udara.
HANYA sebuah komputer digunakan untuk mengawal 10,197 dron yang berterbamgan.
– AGENSI
Bagi melaksanakan prestasi yang begitu kompleks, acara itu menggunakan dron sukan kecil yang dilengkapi dengan lampu LED berwarna-warni, membolehkan pembentukan imej seperti piksel di langit.
Satu komputer menyelaraskan dron, manakala kecerdasan buatan memastikan setiap dron berada di kedudukan yang sempurna tepat pada masanya.
Kemajuan dalam teknologi dron ini sekali gus mengukuhkan kedudukan China sebagai peneraju global dalam pertunjukan udara, menonjolkan kelainan futuristik yang bakal ditawarkan bagi menggantikan warisan bunga api tradisionalnya.
Pasukan Damoda berkata, ketika mereka bersiap sedia untuk berlepas, keadaan cuaca tidak kelihatan baik apabila angin kencang dan gangguan ionosfera kuat menimbulkan cabaran yang agak serius.
Tetapi dengan teknologi tinggi dan pengalaman terbang bertahun-tahun, pasukan itu berjaya melancarkan setiap dron dengan kemas dan pantas.
Kejayaan acara tersebut turut menyerlahkan kepakaran Damoda dalam menolak sempadan pembangunan teknologi.
Syarikat itu juga telah mendapat pengiktirafan global dan sering mempamerkan kehebatan teknologi China di acara antarabangsa seperti Ekspo Dubai.
Memandang ke hadapan, Damoda kini merancang untuk terus maju dengan memfokuskan produk-produk keselamatan, automasi, kecerdasan dan rangkaian.
Mereka berhasrat untuk membina asas baharu untuk persembahan dron, menjadikan pertunjukan. –UTUSAN