PERCUTIAN yang meninggalkan memori indah pasti dinantikan sesiapa sahaja terutamanya kanak-kanak, apatah lagi yang menghidap autisme.
Namun perjalanan jauh, ruang yang sesak dan bising boleh menyebabkan ketidak selesaan kepada mereka terutamanya yang mempunyai spektrum autisme.
Perjalanan juga boleh menjadi sangat bermanfaat untuk kanak-kanak autistik, terutamanya apabila keperluan dan sensitiviti mereka diberi keutamaan.
Selama lebih 20 tahun, International Board of Credentialing and Continuing Education Standards (IBCCES) telah menyediakan latihan kepada hotel, profesional pengembaraan dan biro pelancongan di seluruh dunia yang berminat untuk menjadi lebih mesra kepada pelawat autistik dan neurodivergen lain.
Kini lebih daripada 300 perniagaan disenaraikan sebagai Pusat Diperakui untuk Autisme, serta tiga destinasi yang menerima pengiktirafan sepenuhnya.
Terdapat beberapa lagi yang sedang dalam proses untuk diperakui, termasuk Dubai dan kawasan Greater Palm Springs di AS.
Destinasi terbaharu yang menerima pensijilan adalah Traverse City di Michigan yang memperoleh pengiktirafan itu pada Ogos lalu.
Traverse City terkenal dengan landskap semulajadi yang indah dan berdekatan dengan Sleeping Bear Dunes National Lakeshore.
Muzium Dennos di Traverse City turut melatih pekerjanya dan melaksanakan beberapa kemudahan mesra autisme seperti ruang sunyi, peta deria dan beberapa set fon kepala pembatalan hingar khas untuk pelawat yang sangat sensitif terhadap bunyi.
Muzium Dennos juga merancang beberapa acara istimewa untuk pengunjung autisme, seperti Halloween Untuk Semua yang mesra deria.
Selain muzium itu, terdapat lebih 20 lagi destinasi menarik di Traverse City yang menyediakan kemudahan serupa termasuk hotel Blossom, Gunung Crystal, Taman Seni Warisan Michigan dan Ladang Keluarga Rainbow Valley.
“Matlamatnya adalah mewujudkan persekitaran yang mesra kepada semua penduduk dan pelawat tanpa mengira keperluan unik mereka serta menjadikan pengalaman perjalanan lebih selesa untuk keluarga.
“Ia semudah mempunyai pekerja yang berpengetahuan, mewujudkan ruang yang tenang atau memberikan maklumat tepat tentang pengalaman tertentu dan cara menavigasinya dengan mudah sebelum pelawat tiba,” kata Ketua Pegawai Operasi Traverse City Tourism, Whitney Waara.
Traverse City mengambil inspirasi daripada Mesa, Arizona, yang menjadi bandar mesra autisme pertama AS pada 2019.
Inisiatif oleh lembaga pelancongan yang tercetus oleh pengalaman sebagai ibu bapa kepada kanak-kanak autistik, dengan cepat berkembang menjadi pergerakan di seluruh bandar.
Halaman Perjalanan Autisme di laman web Visit Mesa juga menawarkan panduan deria percuma ke tujuh destinasi paling popular di bandar itu yang boleh dimuat turun dan dilihat dalam talian sebelum pelawat meninggalkan rumah. – UTUSAN