10 negara paling selamat dihuni golongan wanita

10 negara paling selamat dihuni wanita

WANITA Austria bebas menikmati kemudahan dan dasar yang disediakan negara itu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAJORITI negara Nordik iaitu Denmark, Sweden dan Finland merupakan antara 10 negara paling selamat untuk dihuni golongan wanita dengan mengambil aspek keselamatan, hak asasi, keadilan dan kesamarataan.

Berdasarkan Indeks Wanita, Keamanan dan Keselamatan dikeluarkan Institusi Wanita, Keamanan dan Keselamatan (WPS), Universiti Georgetown Amerika Syarikat (AS), terdapat 10 negara memperoleh markah dan kedudukan dalam aspek hak-hak wanita.

Berdasarkan senarai itu, terdapat 10 negara paling selamat untuk wanita iaitu Denmark, Switzerland, Sweden, Finland, Luxembourg, Iceland, Norway, Austria, Belanda dan New Zealand.

Penilaian berdasarkan dasar dan polisi kerajaan negara masing-masing termasuk menitikberatkan aspek keselamatan dan hak wanita agar mereka lebih dihormati dan berdiri sama tinggi seperti kaum lelaki.

Denmark

Negara ini memperoleh skor 0.932 sekali gus menjadi negara pertama dan paling selamat di dunia untuk wanita dalam kalangan 177 negara. Denmark antara negara Nordik yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam hak akses wanita daripada segi keadilan dan etika serta undang-undang yang saksama antara jantina.
Switzerland

Memandangkan negara ini berjaya membuktikan kesaksamaan gender, Switzerland berada di kedudukan kedua selepas Denmark dengan memperoleh skor 0.928.Ia setelah segala dasar diperkenalkan negara bukan sahaja menjaga hak wanita, malah menitikberatkan kesamarataan jantina tanpa mengira sama ada lelaki atau wanita.

Sweden

Berbanding negara lain, Sweden paling lantang membantah diskriminasi jantina dengan memperkenalkan undang-undang anti diskriminasi jantina sekali gus meletakkannya pada kedudukan ketiga dengan skor 0.926. Antaranya polisi diperkenalkan iaitu undang-undang menuntut majikan aktif mempromosikan kesaksamaan antara lelaki dan wanita serta menentang gangguan seksual.

Finland

Mendapat markah 0.924, Finland adalah satu lagi negara Nordik yang mendapat kedudukan tinggi daripada segi keselamatan dan keterangkuman wanita.
Ini setelah negara ini memperkenalkan dasar dan polisi agar wanita menikmati akses yang sama kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan.
Finland adalah negara pertama di dunia yang memperluaskan hak untuk mengundi dan bertanding untuk pilihan raya kepada semua wanita dan lelaki pada tahun 1906.

Luxemborg

Negara ini merupakan satu-satunya anggota Kesatuan Eropah (EU) yang mempunyai kementerian yang tanggungjawabnya secara eksklusif terhadap kesaksamaan jantina sejak 2015. Komitmen negara ini terhadap kesaksamaan jantina terbukti dalam Kementerian Kesaksamaan antara Wanita dan Lelaki seperti yang dipetik daripada luxembourg.public.lu. Sebagai tambahan, salah satu tanggungjawab kementerian adalah untuk melaksanakan pengarusperdanaan jantina dalam struktur politik.

Iceland

Iceland secara konsisten berada pada kedudukan sebagai negara paling selamat, memandangkan kadar jenayah yang rendah dan penghormatan yang mendalam terhadap kesaksamaan gender.

Negara menjadi sebuah tanah air yang progresif daripada segi penyertaan wanita dalam pelbagai bidang khususnya peningkatan dalam politik, menurut laman rasmi Kerajaan Iceland.

Norway

Komitmen Norway terhadap kesaksamaan jantina dan sistem kebajikan yang mantap menjadikannya salah satu negara paling selamat untuk wanita. Kerajaan Norway memastikan untuk meningkatkan peluang yang tersedia untuk wanita menentukan nasib sendiri dan memperkasakan mereka dalam bidang pekerjaan dan pendidikan.

Austria

Memandangkan negara ini mempunyai polisi yang efektif dan sama adil untuk semua jantina, maka tidak menghairankan Austria adalah salah satu negara paling selamat untuk wanita di dunia. Tambahan pula, wanita di sini menikmati hak sama tanpa mengira jantina.

Belanda

Walaupun masih banyak usaha yang perlu dilakukan untuk menyediakan lebih banyak peluang yang sama rata kepada wanita di Belanda, namun negara ini telah menunjukkan sikap progresif terhadap hak wanita. Sebagai contoh, kerajaan memberi tumpuan untuk melaksanakan Resolusi PBB 1325 mengenai wanita, keamanan dan keselamatan untuk meningkatkan kedudukan wanita.
Selain itu, Belanda juga komited untuk memerangi keganasan terhadap wanita, menggalakkan penyertaan politik dan ekonomi serta mencapai kesaksamaan jantina.

New Zealand
New Zealand mempunyai rangka kerja undang-undang yang kukuh melindungi wanita daripada keganasan dan diskriminasi. Kerajaannya juga aktif menggalakkan kesaksamaan jantina.
Jacinda Ardern merupakan antara tiga wanita yang menjadi Perdana Menteri negara ini, sebelum mengambil keputusan berundur daripada politik pada 2023. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN