Dulu ‘sendu’, Bodo kini tarikan baharu Eropah

Dulu ‘sendu’, Bodo kini tarikan baharu Eropah

BODO terletak berhampiran glasier Svartisen yang paling mudah diakses di Eropah. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERLETAK dalam landskap unik yang dikelilingi oleh glasier, hutan dan tasik, bandar Bodo yang dahulunya membosankan kini berubah menjadi pintu masuk utama ke kawasan aktiviti luar yang hebat.

Bandar di Bulatan Artik itu tidak seperti Tromso atau Oslo yang begitu terkenal di Norway.

Lebih sedekad lalu, bandar itu hanya terkenal dengan pangkalan tenteranya. Malah, sebelum ini ia dikenali dalam kalangan orang Norway sebagai ‘Boring Bodø’.

“Tidak seperti dulu, bandar ini mula berkembang dengan pesat dan semakin dikenali. Terdapat lebih ramai orang, termasuk pelancong antarabangsa juga.

“Ramai penduduk yang berpindah dari Bodo mula berhijrah kembali. Mereka membawa masuk industri dan keterujaan baharu,” kata seorang penduduk, Simen Steinbakk kepada BBC.

Bodo adalah ibu kota wilayah Nordland, hampir 800 kilometer di sepanjang pantai barat laut Norway.

Bodo dinobat sebagai Ibu Kota Kebudayaan Eropah 2024. –AGENSI

Hamparan daratan dengan populasi 240,000 orang itu merupakan wilayah yang paling sedikit penduduk di Norway dan salah satu kawasan paling jarang dihuni di seluruh Eropah, dengan kurang daripada tujuh orang setiap kilometer persegi.

Tetapi menurut Innovation Norway dan Statistics Norway, bilangan pelawat ke kawasan Bodo meningkat 25 peratus sepanjang tahun ini berbanding tempoh sama pada 2023 dengan tempahan untuk hotel dan restorannya turut melonjak.

Datuk Bandar Bodo, Odd Emil Ingebrigtsen berkata, kebangkitan bandar itu secara ironinya bermula apabila pangkalan udara tenteranya ditutup pada 2012.

“Diberkati dengan banyak tasik sejernih kristal, hutan tebal dan banjaran gunung Saltfjellet yang menjulang tinggi, kerajaan tempatan berusaha membangunkan infrastruktur Bodo sebagai pintu masuk ke lokasi pelancongan yang hebat.

“Pada 2014, bandar ini dilengkapi Dewan Konsert Stormen yang menampilkan beberapa akustik terbaik dunia untuk muzik klasik.

“Pada tahun sama, kami juga membina Perpustakaan dan Pusat Kebudayaan Stormen dengan akses panorama indah laut yang berjaya memenangi Anugerah untuk Reka Bentuk Bangunan Norway,” katanya.

Menurut beliau, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Wilayah Norway menamakan Bodo sebagai bandar paling menarik pada 2016 dengan stadium baharu untuk kelab FK Bodo/Glimt dan lapangan terbang baharu dijangka siap pada 2030.

Namun, jelas Ingebrigtsen, pencapaian terbesar dan paling istimewa untuk Bodo hadir tahun ini selepas bandar itu dinamakan sebagai Ibu Kota Kebudayaan Eropah 2024 bersama Tartu di Estonia dan Bad Ischl, Austria.

“Saya seorang pelajar di Tromso. Apa yang saya ketahui, Bodo sangat sunyi dengan jalan kosong. Malah, mempunyai banyak bangunan yang tidak dijaga dengan baik.

“Tidak banyak yang boleh dilakukan untuk golongan muda. Sekarang ia sama sekali berbeza, “kata penduduk, Hanne Kristin Jakhelin yang berpindah ke Bodo pada 1998 dan memiliki firma perunding Muskat AS.

Penduduk bandar itu turut meningkat lebih 20 peratus dalam tempoh 18 tahun lalu dan bakal menjadi tumpuan baharu untuk pelancong menikmati keindahan landskap alam semula jadi kawasan artik Scandinavia yang menyegarkan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya