PETALING JAYA: Syarikat penyelesaian tenaga bersih, Gentari menerusi anak syarikatnya, Gentari Renewables Sdn. Bhd., menyiapkan sistem parkir berbumbung solar berkapasiti 2.79 megawatt (MW) di Kompleks Petronas Pantai Timur (PECC) di Kerteh, Terengganu.
Projek yang dilaksanakan dalam lima fasa itu merangkumi kawasan seluas 56,361 meter persegi dan memperkukuh usaha penyahkarbonan serta penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) di tapak operasi berkenaan.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan dan Ketua Negara Malaysia Gentari, Shah Yang Razalli berkata, projek itu membuktikan infrastruktur sedia ada mampu dimanfaatkan sebagai aset penjanaan tenaga yang produktif.
“Penggunaan tenaga boleh baharu di premis menawarkan pendekatan praktikal yang memberikan manfaat serta-merta dalam meningkatkan daya saing kos dan mencapai matlamat penyahkarbonan.
“Kami berharap dapat membantu lebih banyak organisasi mempercepatkan peralihan tenaga mereka menerusi penyelesaian yang praktikal dan boleh diperluas,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, sistem parkir berbumbung solar tersebut dijangka menjana kira-kira 3.5 juta kilowatt-jam (kWh) tenaga elektrik bersih setiap tahun, sekali gus mengurangkan pelepasan karbon dioksida setara (tCO₂e) sebanyak kira-kira 2,500 tan setahun.
“Tenaga elektrik yang dijana akan digunakan untuk menyokong operasi harian PECC, manakala lebihan tenaga akan disalurkan ke grid nasional menerusi skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM).
“Inisiatif tersebut dilaksanakan di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga Solar (PPA) antara Gentari dan Rantau Properties Sdn. Bhd., iaitu anak syarikat KLCC (Holdings) Sdn. Bhd. yang merupakan pemilik PECC,” katanya.
Di bawah perjanjian itu, Gentari bertanggungjawab membangunkan dan mengendalikan sistem solar berkenaan, manakala Rantau Properties menyediakan tapak pemasangan serta membeli tenaga elektrik yang dihasilkan.
Projek yang bermula pada tahun 2024 itu dilaksanakan dengan kerjasama syarikat tenaga boleh baharu tempatan, Gading Kencana Sdn. Bhd., sekali gus memperkukuh keupayaan tempatan dalam rantaian nilai tenaga bersih negara.
Untuk rekod, PECC merupakan hab pentadbiran dan operasi utama Petronas yang berfungsi sebagai pusat penyelarasan inisiatif tenaga huluan, hiliran dan serantau di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
Kompleks berkenaan merangkumi bangunan pejabat, kemudahan operasi dan sokongan serta dilengkapi dengan lebih 1,400 petak parkir. – UTUSAN








