PETALING JAYA: Kerajaan Selangor memperkukuh usaha pembangunan bakat digital menerusi program Selangor Career Outreach (SCOUT) University Series: AI and Data Centre bagi mendekatkan pelajar dengan pakar industri serta peluang kerjaya dalam sektor kecerdasan buatan (AI) dan pusat data yang berkembang pesat.
Inisiatif itu penting susulan Selangor merekodkan hampir RM70 bilion pelaburan diluluskan bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, dengan lebih 90 peratus disumbangkan sektor perkhidmatan yang diterajui teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, penganjuran SCOUT di kampus universiti merupakan kesinambungan usaha kerajaan negeri memperluas akses kepada peluang pekerjaan dan menghubungkan bakat tempatan dengan keperluan industri.
Beliau berkata, ekspo kerjaya SCOUT yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada awal Oktober lalu menghimpunkan lebih 140 syarikat dengan lebih 10,000 kekosongan pekerjaan.
“Namun, satu ekspo besar sahaja tidak mencukupi. Justeru, kami membawa SCOUT ke setiap kampus secara berperingkat,” katanya.
Edisi kelima itu dianjurkan Invest Selangor Berhad dengan kerjasama School of Computing and Artificial Intelligence, Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi, Sunway University.
Program berkenaan turut menampilkan wakil industri daripada NEXTDC dan UST Malaysia yang berkongsi pengalaman serta pandangan mengenai kemahiran, kompetensi dan laluan kerjaya dalam sektor AI dan pusat data.
Kerajaan negeri turut memperkukuh pembangunan bakat semikonduktor menerusi Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM), yang setakat ini melatih lebih 800 peserta dalam bidang seperti reka bentuk cip dengan kadar penempatan pekerjaan dilaporkan mencapai 100 peratus.
Selain itu, Malaysia IC Design Park di Puchong menyokong pembangunan bakat kejuruteraan semikonduktor tempatan dengan rakyat Malaysia merangkumi 95 peratus daripada keseluruhan juruteranya.
Dalam usaha memastikan syarikat tempatan turut mendapat manfaat daripada pertumbuhan sektor pusat data, kerajaan negeri menerusi dasar Pembangunan Ekonomi Tempatan (LED) menetapkan pelaburan pusat data baharu perlu mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus kandungan tempatan.
Langkah itu bertujuan membuka lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan, penyedia teknologi dan pekerja untuk menyertai rantaian nilai industri berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Invest Selangor turut melancarkan Invest Selangor Support Network (ISSN) iaitu direktori digital dan platform pemadanan perniagaan bagi menghubungkan pelabur baharu dengan penyedia perkhidmatan profesional tempatan yang telah disaring.
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Education Group, Profesor Datuk Dr. Elizabeth Lee berkata, kerjasama antara universiti dan industri penting bagi memastikan pelajar mendapat pendedahan kepada persekitaran pekerjaan sebenar serta lebih bersedia menghadapi keperluan tenaga kerja masa depan.
Beliau berkata, kerjasama dengan Invest Selangor menerusi SCOUT membuka lebih banyak peluang kepada pelajar untuk meneroka kerjaya dalam sektor teknologi yang sedang berkembang.
Sebelum ini, SCOUT University Series turut memberi tumpuan kepada sektor aeroangkasa di Universiti Putra Malaysia, sains hayat di Universiti Selangor, elektrik dan elektronik (E&E) di University of Nottingham Malaysia serta rel di Universiti Teknologi MARA Shah Alam. – UTUSAN








