KUALA LUMPUR: RHB Bank Berhad (RHB) memperkenalkan kad kredit-i RHB Sinar yang kini dibuka untuk permohonan di seluruh negara, menawarkan kemudahan pembiayaan patuh Syariah dengan ciri asas pada kos berpatutan bagi membantu rakyat menguruskan perbelanjaan harian.
Kad kredit berkenaan menyasarkan rakyat Malaysia yang berumur antara 21 hingga 65 tahun dengan pendapatan tahunan minimum RM24,000, sekali gus memberi pilihan kepada golongan berpendapatan sederhana untuk mendapatkan kemudahan kredit yang lebih fleksibel.
Kad kredit-i itu menawarkan had kredit sehingga RM20,000 atau bersamaan dua kali ganda pendapatan bulanan pemegang kad, mengikut jumlah yang lebih rendah.
Selain itu, kad berkenaan mengenakan kadar keuntungan tetap sebanyak 14 peratus setahun bagi transaksi runcit, tanpa caj yuran tahunan untuk kad utama dan tambahan serta tidak melibatkan pengkompaunan caj keuntungan.
Pengarah Urusan Perbankan Komuniti Kumpulan RHB Bank Berhad, Jeffrey Ng Eow Oo berkata, pengenalan kad kredit-i itu bertujuan memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggan dalam menguruskan komitmen kewangan berdasarkan kemampuan dan keperluan masing-masing.
Katanya, pihaknya memahami setiap pelanggan mempunyai keadaan kewangan dan keutamaan berbeza, justeru kemudahan itu diharap dapat menjadi pilihan praktikal yang menawarkan fleksibiliti dalam menguruskan perbelanjaan.
“Melalui kad kredit-i RHB Sinar, kami berharap dapat menawarkan pilihan praktikal yang memberikan pelanggan lebih fleksibiliti dalam menguruskan kewangan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, kad berkenaan turut dilengkapi beberapa kemudahan pembayaran bagi membantu pemegang kad menguruskan komitmen kewangan, termasuk Smart Move Balance Transfer yang membolehkan baki tertunggak daripada kad kredit atau kad caj yang layak dipindahkan ke kad berkenaan.
Kemudahan CashXcess pula membolehkan pemegang kad mendapatkan akses kepada wang tunai, manakala Dial-An-Instalment memberi pilihan menukar pembelian terpilih bernilai RM500 dan ke atas kepada bayaran ansuran bulanan dengan mengenakan fi.
Selain itu, Smart Instalment Payment Plan menawarkan pelan ansuran sifar peratus bagi pembelian runcit yang layak bernilai sekurang-kurangnya RM500 di premis peniaga RHB yang mengambil bahagian.
Kemudahan lain termasuk Smart Pay untuk pembayaran bil serta Auto Balance Conversion yang menukar baki tertunggak yang layak kepada bayaran bulanan pada kadar lebih rendah.
Pelanggan yang berminat boleh memohon kad kredit-i RHB Sinar menerusi mana-mana cawangan RHB di seluruh negara atau berhubung dengan pegawai bank berkenaan.
Permohonan minat juga boleh dibuat menerusi laman sesawang rasmi RHB di www.rhbgroup.com sebelum wakil bank menghubungi pelanggan untuk memberikan maklumat lanjut.-UTUSAN











