Keuntungan bersih F&N susut kepada RM437.09 juta - Utusan Malaysia

Keuntungan bersih F&N susut kepada RM437.09 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) menyusut kepada RM437.09 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2026 berbanding RM508.46 juta pada tahun kewangan sebelumnya, susulan prestasi lebih lemah segmen makanan dan minuman (F&B) Indochina.

Kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi tahun kewangan berkenaan turut merosot kepada RM4.92 bilion daripada RM5.19 bilion sebelumnya.

“Prestasi kewangan itu dipengaruhi ketidaktentuan global, cabaran serantau serta peningkatan kos berkaitan pelaksanaan pelaburan strategiknya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagaimanapun, perniagaan teras kumpulan di Malaysia dan Thailand terus menunjukkan daya tahan, selain perkembangan dua pelaburan strategik menerusi F&N AgriValley dan kemudahan pembuatan baharu di Kemboja.

“Bagaimanapun, jumlah jualan secara keseluruhan kekal stabil dengan pertumbuhan dicatatkan di Malaysia, Thailand dan pasaran eksport.

“Segmen F&B Malaysia merekodkan peningkatan hasil sebanyak 3.3 peratus, disokong jualan domestik yang lebih kukuh bagi produk minuman, air dan tenusu,” katanya.

Syarikat itu berkata, prestasi itu turut dibantu peluasan rangkaian pengedaran serta pelaksanaan strategi jualan menerusi saluran perdagangan moden, perdagangan tradisional dan sektor perhotelan, restoran serta kafe dan katering.

“Jumlah eksport turut meningkat berikutan peluasan pasaran di Afrika, ASEAN dan beberapa pasaran lain, meskipun pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) mengehadkan pertumbuhan hasil eksport.

“Sebaliknya, segmen F&B Indochina berdepan tekanan apabila hasil merosot 16.6 peratus susulan gangguan jualan ke Kemboja akibat krisis sempadan, selain kelemahan ekonomi dan aktiviti pelancongan yang lebih perlahan di Thailand,” katanya.

Keuntungan operasi kumpulan turut menyusut 13.6 peratus kepada RM644.24 juta berbanding RM745.51 juta pada tahun kewangan sebelumnya, manakala keuntungan sebelum cukai berkurangan 14.4 peratus kepada RM625.43 juta daripada RM703.72 juta.

“Prestasi itu turut mencerminkan peningkatan kos berkaitan pelaburan strategik dalam F&N AgriValley, sumbangan lebih rendah daripada segmen F&B Indochina serta kesan pertukaran mata wang asing yang tidak menguntungkan.

“Bagaimanapun, keuntungan sebelum cukai bagi tahun kewangan 2026 merangkumi keuntungan RM90.48 juta hasil penjualan 50 peratus kepentingan ekuiti kumpulan dalam Vacaron Company Sdn. Bhd.,” katanya.

Bagi suku keempat berakhir 30 September 2026, keuntungan bersih kumpulan meningkat kepada RM135.04 juta berbanding RM114.29 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, disokong perbelanjaan cukai yang lebih rendah.

Bagaimanapun, hasil suku tahunan menyusut kepada RM1.18 bilion daripada RM1.22 bilion.

Mengulas prospek, F&N berkata, kumpulan itu akan memberi tumpuan kepada usaha menstabilkan operasi serta meningkatkan sumbangan dua platform pertumbuhan baharunya apabila memasuki tahun kewangan 2027.

“Di F&N AgriValley, tumpuan diberikan kepada kestabilan operasi, produktiviti dan kecekapan ketika operasi tenusu bersepadu mula diperluaskan.

“Sementara itu, operasi pembuatan tempatan di Kemboja yang bermula pada Oktober 2026 akan ditingkatkan secara berperingkat, selain memperkukuh rangkaian pengedaran dan memperluas kehadiran pasaran termasuk pembangunan jenama Gold Coin,” ujarnya.

Kumpulan itu menjangkakan persekitaran operasi kekal mencabar berikutan ketidaktentuan geopolitik, peningkatan kos input dan persaingan sengit dalam pasaran pengguna.

Sehubungan itu, F&N akan terus memperkukuh perniagaan teras, meningkatkan pelaksanaan strategi komersial serta memperluas rangkaian pasaran dan pengedaran, di samping mengekalkan disiplin pengurusan kos dan meningkatkan kecekapan operasi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif F&N, Tarang Gupta berkata, kos berkaitan pelaburan dalam F&N AgriValley dan Kemboja memberi kesan kepada keuntungan jangka pendek kumpulan, namun kedua-dua pelaburan itu dijangka memperkukuh daya tahan operasi serta menyokong pertumbuhan jangka panjang.

Menurutnya, kumpulan itu akan terus mengekalkan momentum perniagaan teras sambil meningkatkan skala operasi kedua-dua pelaburan berkenaan secara berperingkat.

Dalam perkembangan lain, F&N mencadangkan dividen akhir sebanyak 30 sen sesaham, bersamaan kira-kira RM110 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2026.

Cadangan itu menjadikan jumlah dividen bagi tahun kewangan berkenaan sebanyak 60 sen sesaham atau RM220 juta, sekali gus meningkatkan nisbah pembayaran dividen kepada 50.3 peratus.

Pembayaran dividen akhir itu tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung tahunan akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini