KUALA LUMPUR: Sektor kewangan berjaya menghalang cubaan transaksi penipuan bernilai kira-kira RM1.9 bilion pada separuh pertama 2026, melebihi daripada jumlah RM1.2 bilion yang disekat sepanjang 2025.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, dalam pada itu aset bernilai lebih RM37 bilion turut berjaya diperoleh semula dalam tempoh lima tahun lepas.
“Kes jenayah kewangan yang berprofil tinggi dan kompleks turut disiasat dan didakwa, termasuk kes yang membabitkan pelbagai agensi. Pencapaian ini membuktikan keberkesanan usaha bersama seluruh negara,” katanya dalam ucapan pembukaan Persidangan Antarabangsa mengenai Jenayah Kewangan dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) 2026 hari ini.
Beliau berkata, sudah 25 tahun Malaysia menggubal Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, Pencegahan Pembiayaan Aktiviti Terlarang dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
“Sepanjang suku abad yang lalu, kita telah mengubah rangka kerja Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) yang dahulunya bersifat tradisional kepada rejim menyeluruh yang membanteras semua bentuk jenayah kewangan,” katanya.
Abdul Rasheed berkata, kemajuan itu telah dibina berasaskan tiga elemen penting, terutamanya undang-undang yang lebih kukuh, institusi yang lebih mantap dan pemahaman yang lebih mendalam mengenai risiko serta pendekatan penyeliaan.
Sehubungan itu katanya, usaha itu secara kolektif telah memperkukuh rejim AML, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Pencegahan Proliferasi Pembiayaan Malaysia yang membawa kepada pengiktirafan positif dalam Penilaian Bersama 2025.
Dalam pada itu, Gabenor BNM menekankan bahawa kira-kira 95 peratus kes penipuan dalam talian melibatkan mangsa yang diperdaya untuk memindahkan wang sendiri.
Selain itu, ejen kecerdasan buatan (AI) juga boleh digunakan untuk menjalankan kempen penipuan, mengenal pasti kelemahan dan memperhebat serangan siber.
“Interpol menganggarkan penipuan yang menggunakan teknologi AI menjana keuntungan 4.5 kali ganda lebih tinggi berbanding kaedah tradisional, sekali gus membolehkan penjenayah bertindak lebih pantas, menjangkaui lebih banyak sasaran dan mengakibatkan kemudaratan yang lebih besar,” kata beliau.
Beliau berkata perkembangan itu telah mencetuskan ‘perlumbaan senjata’ yang bermaksud persaingan sengit dalam usaha menentang penjenayah.
“Jadi, apabila mereka mengautomasikan penipuan, kita mesti mengautomasikan pengesanan. Apabila mereka memanfaatkan kepantasan dan skala, kita mesti lebih tangkas untuk mengenal pasti, menyekat dan mencegah aktiviti haram,” tambah beliau. – BERNAMA











