PETALING JAYA: Setel memperkenalkan Voice Fuelling, ciri berkuasa kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan pengguna mengaktifkan pam minyak hanya menerusi arahan suara, sekali gus menjadikan pengalaman mengisi minyak lebih mudah dan mesra pengguna.
Ciri baharu yang kini dalam fasa beta itu merupakan evolusi daripada fungsi Pengisian One-tap dan tersedia dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Mandarin serta Tamil, bagi membolehkan lebih ramai pengguna berinteraksi dengan aplikasi menggunakan bahasa pilihan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Setel, Abdullah Ayman Awaluddin berkata, penggunaan AI seharusnya memberi nilai kepada kehidupan seharian dengan mengurangkan kerumitan, termasuk ketika melakukan urusan mudah seperti mengisi minyak.
“Di Setel, kami percaya teknologi sepatutnya memudahkan kehidupan seharian, bukannya menambah kerumitan.
“Daripada perlu mengetik pada skrin, kini cukup sekadar menyebut nombor pam. Voice Fuelling mencerminkan bagaimana AI boleh memberi nilai dalam perkara yang kita lakukan setiap hari,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, penggunaan AI bukan sekadar berkaitan teknologi, sebaliknya bagaimana teknologi itu dapat mengurangkan kesulitan serta menjadikan pengalaman pengguna lebih intuitif dan inklusif.
Katanya, keupayaan pengguna berinteraksi menggunakan bahasa yang biasa mereka gunakan mungkin kelihatan sebagai perubahan kecil, namun penting bagi menjadikan teknologi lebih semula jadi dan mudah diakses.
Voice Fuelling direka untuk memenuhi keperluan pelbagai kumpulan pengguna termasuk pemandu kereta, penunggang motosikal, pengendali fleet serta pemandu e-hailing.
Ia turut memberi kemudahan kepada pengguna yang kurang biasa menggunakan aplikasi atau lebih selesa memberikan arahan secara lisan berbanding mengetik pada skrin.
Selepas ciri itu diaktifkan dalam aplikasi Setel, pengguna hanya perlu menyebut nombor pam bagi memulakan proses pengisian minyak.
Sistem AI Setel kemudiannya menguruskan transaksi berdasarkan kaedah pembayaran dan pilihan pengisian minyak yang telah ditetapkan pengguna.
Bagi membantu orang ramai menggunakan ciri tersebut, pengedar Petronas dan kru di stesen turut akan memperkenalkan Voice Fuelling serta membantu pelanggan mengaktifkannya.
Dalam usaha menarik lebih ramai rakyat Malaysia menyertai ekosistem Setel, pengguna baharu turut ditawarkan lima kali ganda mata ganjaran Mesra Rewards, terhad kepada 500 mata ganjaran.
Tawaran itu diberikan kepada pengguna yang memuat turun aplikasi, mendaftar dan mengesahkan akaun serta membuat pengisian minyak sekurang-kurangnya satu liter.
Ganjaran berkenaan boleh ditebus sekali sahaja bagi setiap pengguna dan tidak terhad kepada penggunaan Voice Fuelling.
Ia terpakai untuk pengisian RON95, RON97 dan Diesel, termasuk BUDI95 dan BUDI Diesel, tertakluk kepada terma dan syarat. – UTUSAN











