PETALING JAYA: Pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) susulan data ekonomi negara itu yang lebih kukuh daripada jangkaan memberi tekanan sementara kepada ringgit, dengan mata wang tempatan berpotensi mengalami pembetulan teknikal dalam tempoh dua minggu akan datang.
Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS yang lebih baik daripada jangkaan serta peningkatan pekerjaan sektor swasta menerusi laporan ADP memberi sokongan kepada dolar AS berbanding ringgit.
Ujarnya, KDNK sebenar AS berkembang pada kadar tahunan 2.2 peratus pada suku kedua 2026, lebih tinggi daripada anggaran terdahulu 1.5 peratus, manakala pekerjaan sektor swasta meningkat sebanyak 90,000 pada September.
“Perkara ini sudah pasti akan mengukuhkan dolar AS dan kesannya kepada ringgit adalah semakin menurun.
“Namun, penurunan ringgit ini bersifat sementara dan akan berlaku pembetulan secara teknikal dalam tempoh dua minggu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas prospek kadar faedah AS, beliau berkata, Rizab Persekutuan AS (Fed) mempunyai ruang untuk menaikkan kadar faedah sekiranya langkah itu diperlukan bagi menarik pelaburan asing ke negara berkenaan.
Menurutnya, kenaikan kadar faedah AS berpotensi memberi kesan kepada negara membangun apabila pelabur mengalihkan dana ke pasaran AS bagi mendapatkan pulangan yang lebih menarik.
“AS boleh sahaja menaikkan kadar faedah untuk menarik para pelabur asing dalam jangka pendek dan panjang. Kesan positif akan dinikmati AS.
“Sebaliknya, negara membangun akan terkesan jika AS menaikkan kadar faedah kerana pelabur mungkin mengalihkan pelaburan mereka ke AS,” katanya.
Beliau berkata, perbezaan hala tuju kadar faedah AS dan Malaysia juga penting dalam menentukan pergerakan aliran modal asing serta ringgit dalam tempoh terdekat.
Katanya, kadar faedah AS mempunyai kesan lebih luas terhadap pasaran kewangan global, manakala dasar kadar faedah Malaysia lebih tertumpu kepada kestabilan ekonomi domestik.
Bagi pergerakan ringgit, Mohd. Rizal meletakkan paras sokongan pada RM4.00 berbanding dolar AS, manakala paras rintangan berada pada RM4.15.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, bacaan indeks harga perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) yang lebih rendah daripada jangkaan memberi isyarat bahawa tekanan inflasi di AS, walaupun masih tinggi, berada dalam keadaan terkawal.
“Perkembangan itu menyebabkan kebarangkalian kenaikan kadar faedah pada Oktober susut kepada bawah 50 peratus berdasarkan petunjuk daripada pasaran derivatif.
“Data terkini AS jelas menunjukkan bahawa keputusan kenaikan kadar faedah di AS pada Oktober ini bukanlah sesuatu yang muktamad.
“Bacaan PCE yang lebih rendah daripada jangkaan merupakan isyarat bahawa kadar inflasi di AS, walaupun tinggi, masih terkawal,” katanya.
Dalam perkembangan pasaran mata wang, beliau berkata, paras sokongan ringgit ketika ini berada pada RM4.0564 bagi setiap dolar AS, manakala paras rintangan pada RM4.0980.
Bagaimanapun, beliau menjangkakan dasar monetari AS masih kekal ketat berikutan pertumbuhan ekonomi dan pasaran buruh yang masih kukuh, selain kadar inflasi yang kekal melebihi sasaran dua peratus Fed.
“Oleh itu, kemungkinan penurunan kadar faedah dalam tempoh terdekat dilihat tidak realistik,” katanya.
Mengenai dasar monetari Malaysia, jelasnya, Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus mengambil kira faktor domestik termasuk prospek pertumbuhan ekonomi dan kadar inflasi dalam menentukan hala tuju Kadar Dasar Semalaman (OPR).
Menurut Mohd. Afzanizam, prestasi pertumbuhan ekonomi negara yang masih baik memberi ruang kepada kemungkinan pelarasan OPR pada masa hadapan.
“Saya tidak menidakkan kemungkinan kenaikan OPR boleh berlaku pada November memandangkan terdapat keperluan untuk meletakkan OPR pada paras yang lebih normal,” katanya.
Beliau berkata, data ekonomi AS yang positif turut memberikan sokongan kepada dolar AS, sekali gus memberi tekanan kepada ringgit dalam tempoh terdekat. – UTUSAN










