Prasarana sambut baik belanjawan madani 2027

Prasarana sambut baik belanjawan madani 2027, perkukuh agenda pengangkutan awam negara

prasarana
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), selaku pengendali utama perkhidmatan rel dan bas awam di Lembah Klang dan Pulau Pinang, menyambut baik intipati Belanjawan Madani 2027 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada petang ini.

Belanjawan ini memberi penekanan terhadap usaha memperkukuh sistem pengangkutan negara dari aspek aksesibiliti, kebolehpercayaan perkhidmatan serta keselesaan pengguna.

Prasarana dalam satu kenyataan merakamkan penghargaan kepada Kerajaan atas keputusan meneruskan kemudahan pas perjalanan My50 yang memberi manfaat kepada kira-kira 300,000 pengguna perkhidmatan rel dan bas kendalian Rapid KL di Lembah Klang setiap bulan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kesinambungan inisiatif ini amat bermakna dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat, khususnya mereka yang bergantung kepada pengangkutan awam untuk perjalanan harian.

Prasarana mengambil maklum penekanan Kerajaan terhadap keperluan memastikan kelancaran perkhidmatan rel untuk keselesaan dan kemudahan Rakyat.

Sehubungan itu, Prasarana komited untuk mempergiat usaha meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh penyelenggaraan serta menangani isu-isu teknikal secara menyeluruh bagi memastikan perkhidmatan yang stabil, selamat dan boleh dipercayai.

“Seperti yang dizahirkan dalam teks pembentangan belanjawan YAB PM, Prasarana akan melaksanakan pelaburan sebanyak RM3.4 bilion bagi program pemulihan menyeluruh perkhidmatan rel.

“Pelaburan strategik ini merupakan sebahagian daripada komitmen jangka panjang Prasarana untuk memperkukuh keupayaan dan daya tahan sistem rel, mengoptimumkan prestasi serta kebolehpercayaan aset, di samping meminimumkan risiko gangguan perkhidmatan demi memastikan pengalaman perjalanan yang lebih lancar, selamat dan selesa kepada pengguna.

“Sebagai penyedia perkhidmatan pengangkutan awam terbesar negara, Prasarana akan terus melaksanakan tanggungjawab untuk menyediakan sistem mobiliti yang selamat, cekap, inklusif dan mampan, sekaligus menyokong aspirasi negara ke arah mencapai peratusan penggunaan (modal share) pengangkutan awam sebanyak 40 peratus menjelang tahun 2030,” kata kenyataan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini