Perbankan, utiliti kekal terajui Bursa Malaysia

Perbankan, utiliti kekal terajui Bursa Malaysia

GERGASI perbankan seperti Maybank, Public Bank dan CIMB kekal sebagai tunjang pasaran minggu ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor perkhid­matan kewangan dan utiliti dijangka terus menjadi pilihan utama dan tunjang pasaran di Bursa Malaysia pada minggu ini, biarpun FTSE KLCI Bursa Malaysia (FBM KLCI) berdepan ketidaktentuan ekoran tekanan geopolitik global dan jualan berterusan pelabur asing.

Kedua-dua sektor berwajaran tinggi itu kekal menjadi buruan pelabur berikutan pendedahan kukuh kepada permintaan domestik yang berdaya tahan, sekali gus berfungsi sebagai perisai defensif apabila sentimen pasaran luaran berdepan risiko.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd., Mohd. Sedek Jantan berkata, dari sudut pemilihan saham, lima sektor utama merangkumi perkhidmatan kewangan, utiliti, perladangan, telekomunikasi dan pembinaan terus mendominasi keutamaan pelabur berdasarkan saiz modal pasaran yang besar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, gergasi perbankan seperti Malayan Banking Bhd. (Maybank), Public Bank Bhd. dan CIMB Group Holdings Bhd. kekal sebagai tunjang pasaran dengan nilai pasaran masing-masing mencecah RM127.97 bilion, RM99.38 bilion dan RM86.26 bilion minggu ini.

“Sektor utiliti dan tenaga tempatan pula dipimpin oleh Tenaga Nasional Bhd. (RM84.52 bilion) dan YTL Power International Bhd. (RM45.02 bilion).

“Sementara itu, SD Guthrie Bhd. (RM45.78 bilion) menerajui perladangan, di samping kebangkitan semula sektor pembinaan menerusi Gamuda Bhd., Sunway Construction Group Bhd. dan IJM Corp. Bhd.,” katanya kepada Utusan Mlaaysia.

Mengulas mengenai prestasi pasaran, Mohd. Sedek berkata, FBM KLCI yang ditutup pada paras 1,608.45 mata pada Jumaat lalu masih dipengaruhi oleh lonjakan harga minyak mentah Brent melebihi tiga peratus berikutan ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran menjelang pilihan raya pertengahan penggal AS.

“Kenaikan harga tenaga global ini turut dipengaruhi oleh gangguan bekalan di Teluk Mexico susulan ribut tropika yang memaksa gergasi minyak menghentikan pengeluaran, di samping laporan serangan kapal tangki berhampiran Qatar serta serangan Houthi ke atas Arab Saudi.

“Bagi ekuiti Malaysia, gabungan harga tenaga yang lebih tinggi, ketidaktentuan geopolitik, dan jualan berterusan oleh pelabur asing menjadi cabaran utama dalam tempoh terdekat,” katanya. 

Menurut beliau, jualan bersih berterusan oleh pelabur asing bagi 10 hari dagangan berturut-turut mengehadkan keupayaan pasaran tempatan menyerap kejutan luar, meskipun tumpuan pasaran kini terarah kepada impak pembentangan Belanjawan 2027.

Dalam pada itu, Mohd. Sedek berkata, sentimen serantau turut terjejas susulan keputusan kewangan Samsung Electronics yang berada di bawah jangkaan, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai kemampanan kitaran sektor semikonduktor.

“Kami menjangkakan FBM KLCI kekal tidak menentu dalam tempoh terdekat, dengan hala tuju harga minyak, aliran dana asing dan perkembangan konflik AS-Iran dijangka mengatasi pemangkin domestik menjelang pembentangan bajet,” tambahnya.

Menurutnya, pasaran saham tempatan dijangka kekal membina tetapi semakin selektif minggu ini, dengan sektor defensif bertindak sebagai pemacu utama pergerakan indeks.

Sementara itu, katanya, berdasarkan nota kajian mingguan CIMB Securities, FBM KLCI susut 2.44 peratus minggu ke minggu kepada 1,630.87 mata pada 2 Oktober lalu, paras penutupan mingguan terendah setakat tahun ini yang terjejas oleh jualan bersih asing berjumlah RM791.5 juta serta kejatuhan pasaran bon global.

“Hasil Perbendaharaan AS mencatatkan paras tertinggi dalam beberapa dekad apabila hasil 30 tahun melonjak mele­bihi 5.6 peratus manakala hasil 10 tahun mencecah 5.34 peratus, iaitu paras tertinggi sejak 2002. 

“Keadaan ini turut memberi tekanan kepada mata wang Asia termasuk rupiah Indonesia yang melemah melepasi Rp18,000 setiap dolar AS, biarpun Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengesahkan pasaran bon glo­bal masih beroperasi secara teratur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini