MRT Corp, TNB meterai kerjasama strategik pacu tenaga mampan

MRT Corp, TNB meterai kerjasama strategik pacu tenaga mampan

LOKE Siew Fook (tengah) menyaksikan pertukaran MoU antara Mohd Zarif Hashim (dua dari kiri) dan Shamsul Ahmad (empat dari kiri) di Transport Expo Asia (TXA) 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam penerokaan penyelesaian tenaga mampan, mobiliti hijau serta pembangunan infrastruktur rel yang lebih cekap tenaga dan berdaya tahan.

Menurut kenyataan bersamanya, kerjasama itu merupakan kesinambungan hubungan kerja antara kedua-dua organisasi dalam pelaksanaan beberapa projek rel, termasuk MRT Laluan 1 dan Laluan 2, Laluan Mutiara Pulau Pinang serta Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS Link).

Kerjasama strategik berkenaan akan dimulakan di RTS Link, khususnya di Kompleks ICQ Bukit Chagar dan Depoh Wadi Hana, Johor Bahru, dengan tumpuan kepada penerokaan penyelesaian tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga, mobiliti hijau serta peningkatan daya tahan infrastruktur elektrik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Menerusi MoU itu, kedua-dua pihak akan meneroka tiga bidang utama, iaitu penyelesaian tenaga solar, kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV) serta kebolehpercayaan bekalan elektrik dan perkhidmatan penyelenggaraan.

“Bagi bidang tenaga solar, kerjasama itu merangkumi penilaian potensi pembangunan sistem tenaga boleh baharu di premis dan aset MRT Corp yang bersesuaian, selain mengenal pasti inisiatif penjimatan tenaga bagi mengurangkan penggunaan elektrik serta kos operasi.

“Dalam aspek mobiliti hijau, kedua-dua organisasi akan meneliti kemungkinan menyediakan kemudahan pengecasan EV di premis terpilih MRT Corp bagi melengkapi rangkaian pengangkutan awam dan menggalakkan penggunaan pilihan mobiliti yang lebih mesra alam,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd. Zarif Hashim berkata, kerjasama itu mencerminkan perubahan fokus organisasi berkenaan daripada pembangunan infrastruktur semata-mata kepada pengurusan operasi yang cekap, boleh dipercayai dan mampan.

Beliau berkata, tanggungjawab MRT Corp dalam mengendalikan Depoh Wadi Hana, Kompleks ICQ dan Stesen RTS di Bukit Chagar memerlukan pendekatan yang dapat memastikan prestasi operasi serta nilai jangka panjang aset berkenaan terus terpelihara.

“Hubungan kerjasama yang telah lama terjalin dengan TNB memainkan peranan penting dalam menyokong pelaksanaan projek rel kami. Kini, kami membawa hubungan tersebut ke tahap yang lebih strategik dengan mengintegrasikan kepakaran tenaga TNB dalam pengoperasian dan pengurusan kemudahan kritikal ini.

“Langkah ini membolehkan kami meneroka penyelesaian praktikal untuk meningkatkan kecekapan tenaga, memperkukuh daya tahan operasi dan memastikan komitmen kemampanan kami diterjemahkan kepada manfaat yang boleh diukur sepanjang tempoh operasi aset berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Ts. Shamsul Ahmad berkata, bekalan elektrik yang boleh dipercayai merupakan asas penting bagi memastikan kelancaran operasi infrastruktur pengangkutan awam.

Menurutnya, TNB berhasrat meneroka penyelesaian tenaga bersama MRT Corp bagi meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga, memperkukuh kebolehpercayaan bekalan elektrik dan menyokong penggunaan tenaga boleh baharu di kemudahan yang bersesuaian.

“MoU itu menyediakan kerangka untuk kedua-dua organisasi meneroka peluang kerjasama yang lebih luas, khususnya dalam memanfaatkan penyelesaian tenaga bagi meningkatkan nilai serta kecekapan operasi infrastruktur.

“Usaha ini sejajar dengan aspirasi pembangunan mampan melalui penyediaan tenaga dan infrastruktur yang boleh dipercayai, di samping menyokong peralihan Malaysia ke arah masa depan rendah karbon,” katanya.

Pertukaran MoU bersempena Transport Expo Asia (TXA) 2026 dengan disaksikan Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini