PETALING JAYA: Kumpulan MBSB menerusi MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) dan MBSB Investment Bank Berhad (MBSB IB) memeterai kemudahan pembiayaan bernilai RM1.025 bilion kepada Ekovest Holdings Sdn. Bhd. (EHSB).
EHSB merupakan syarikat milik penuh Pengerusi Eksekutif Ekovest Berhad, Tan Sri Datuk Lim Kang Hoo.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Rafe Haneef berkata, pengumpulan modal memainkan peranan penting bagi membolehkan perniagaan meneruskan pertumbuhan dan mencipta nilai jangka panjang.
“Melalui gabungan kekuatan MBSB Bank dan MBSB IB, kami berbesar hati menyokong Tan Sri Datuk Lim Kang Hoo menerusi penyelesaian pembiayaan bersepadu.
“Inisiatif ini mengukuhkan aspirasi pertumbuhan beliau serta menyokong pelaksanaan projek-projek infrastruktur dan pembangunan utama negara,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, urus niaga itu mencerminkan komitmen kumpulan dalam membantu pelanggan mendapatkan akses modal secara cekap untuk mendepani fasa pertumbuhan seterusnya.
Di bawah urus niaga tersebut, MBSB Bank bertindak sebagai pembiaya utama, manakala MBSB IB berperanan sebagai Pengatur Utama Mandat, Ejen Kemudahan serta Ejen Sekuriti.
Sementara itu, Lim Kang Hoo berkata, sokongan kewangan daripada Kumpulan MBSB menyediakan kapasiti modal yang diperlukan bagi mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat-syarikat pelaburannya.
“Kemudahan pembiayaan ini menyediakan kapasiti kewangan bagi melaksanakan latihan korporat dengan jayanya untuk mengukuhkan kedudukan modal syarikat.
“Pada masa sama, ia menyokong pelaksanaan projek-projek utama kami dalam sektor infrastruktur dan pembangunan hartanah secara mampan,” katanya.
Kerjasama berkenaan memperkukuhkan hubungan korporat yang terjalin antara Kumpulan MBSB dan Kumpulan Ekovest, susulan peranan MBSB IB dalam penubuhan Program Sukuk Ekovest Berhad bernilai RM1.3 bilion pada 2021.
Suntikan dana itu bakal menyokong pelaksanaan pelbagai latihan korporat serta mempercepatkan pembangunan projek-projek infrastruktur dan hartanah utama syarikat. – UTUSAN











